Sponsor

Tuesday, March 11, 2014

'Suara Takbir' Bergema Mengiringi Wan Azizah Ke Pusat Penamaan Calon...

Penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Kajang berlangsung hari ini dengan perlawanan utama dijangka antara calon Pakatan Rakyat (PR) daripada PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dengan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.
Calon BN tiba dahulu di pusat penamaan calon iaitu Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang, diikuti calon PKR lima minit kemudian. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi isteri beliau ke pusat penamaan calon itu. Turut serta adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menjadi pengarah pilihan raya serta Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali.
Ribuan penyokong BN dan PR mula memenuhi kawasan berhampiran pusat penamaan calon bagi proses penamaan calon sejak pagi lagi. Pihak berkuasa turut mengadakan sekatan ketat di setiap pintu masuk ke pusat pencalonan dengan kawasan sekitar yang dipagari kawat duri.
Turut kelihatan deretan trak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan anggota mereka mengadakan kawalan ketat. Hanya individu yang mempunyai pas kebenaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sahaja dibenarkan memasuki perkarangan stadium.
Calon PR, Wan Azizah tiba pada jam 8.55 pagi manakala calon BN Chew Mei Fun tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.50 pagi. SPR melantik Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman sebagai Pengurus Pilihan Raya PRK Kajang. Penyokong kedua-dua parti dipisahkan di kawasan balapan stadium untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Turut kelihatan mengiringi calon PKR adalah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Dr Xavier Jayakumar, Ketua Penerangan PKR Dr Mohd Nor Manuty dan ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Kee Kwong. Perarakan mereka bermula di bangunan LHDN Bangi kira-kira jam 8.00 pagi tadi selepas doa dibacakan oleh Adun Meru, Dr Rani Othman.
Mereka kemudiannya disertai ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar, AJK PAS Pusat yang juga Adun Batu Burok Dr Syed Azman, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.
Sambil berarak mereka melaungkan "takbir", "reformasi" dan sebagainya di samping membawa kain rentang dan sepanduk tertulis "Dari Kajang ke Putrajaya" serta "Keadilan untuk Anwar" dan juga "Rakyat adalah Hakim Negara".
Harakahdaily/11 Mac, 2014/foto dari rakan facebook

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/