Kes Liwat II - Anwar Ibrahim

Mahkamah Rayuan berhenti bersidang selepas mendengar penggulungan dari pendakwaraya dan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat II. Pengerusi panel hakim, Datuk Balia Yusof Wahi mengucapkan terima kasih kepada peguam dan pendakwaraya sebelum meninggalkan mahkamah untuk membuat rumusan mengenai kes itu.

Demo menuntut kenaikan harga getah

Beliau menyeru kerajaan peka terhadap permasalahan yang dialami pekebun kecil dan mengambil tindakan segera bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka

Jalinan kerjasama Negeri Selangor dan Kelantan membangunkan negeri

MoU ditandatangani Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan disaksikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kelantan dan Selangor

Ulama Syiah digesa hentikan amalan nikah mut'ah

Dr Hussein Abdullah al-Jabiry, Ketua Institute Penangan Penyakit Menular di kota Najaf, utara Baghdad, menegaskan bahwa rata-rata penderita penyakit AIDS di kota Najaf terdiri dari pemeluk syiah

Menjejaki kehidupan suku Kajang di Kepulauan Sulawesi

Diluar keyakinan adat yang hingga saat ini masih terus dipelihara, suku Kajang pun memiliki peradaban kuno yang mengagumkan. Adalah makam dengan nisan batu berukuran besar merupakan bukti kuno peninggalan sejarah yang kuat

Sponsor

Wednesday, December 31, 2014

[Gambar] - Helikopter PDRM Kemalangan Dalam Misi Bantuan Banjir Di Tanah Merah, Kelantan..

Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas, ketika menyertai misi menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di laman sosial Twitternya.

“Saya sahkan Helicopter @PDRMsia terlibat kemalangan di Kpg Rambai, Tanah Merah, Kelantan. Alhamdulilah 2 juruterbang dan 2 Crew Selamat.

“Helicopter @PDRMsia dalam misi menghantar bekalan makanan kpd mangsa banjir di Kg Rambai, Tanah Merah. Alhamdulilah semua Selamat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan memaklumkan, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.42 petang.“Kejadian melibatkan sebuah helikopter PDRM yang terhempas di kawasan perumahan dan menyebabkan 3 pegawai PDRM dan seorang awam cedera.“Kesemua mangsa telah dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Tanah Merah,” katanya.

Harga Semasa RON 95, RON 97 Dan Diesel Bermula 1 Januari 2015..

Harga runcit bagi petrol RON 95 dan RON 97 diturunkan sebanyak 35 sen, masing-masing kepada RM1.91 seliter dan RM2.11 seliter, mulai 1 Januari 2015.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata harga runcit bagi diesel pula diturunkan sebanyak 30 sen kepada RM1.93 seliter.

Pada Disember 2014, harga runcit bagi RON 95, RON 97 dan diesel pada RM2.26 seliter, RM2.23 seliter dan RM2.46 seliter. "Harga-harga bagi petrol dan diesel ini dibuat berdasarkan kepada purata harga kos produk sepanjang bulan Disember 2014 dan kadar pertukaran mata wang," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu malam.
Beliau berkata kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga kos produk dan kadar pertukaran mata wang setiap masa untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel bagi bulan-bulan berikutnya.

"Semua syarikat minyak serta pengusaha stesen minyak diingatkan agar mematuhi penetapan harga baru ini dan tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang melanggar peraturan harga baharu ini," tambahnya. - Bernama

Saham FGVH Merudum,.. ‘Adatlah Main Saham, Ada Turun Naik’.. Tapi Yang Ini,.. ‘Turun Tak Mahu Naik-Naik’..?

Saham FGVH hanya tinggal RM2.13 sesaham pada hari ini. Kenyataan Dato' Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang mengaitkannya dengan pasaran dunia amat melucukan. Ketinggalan keretapi dia...
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) telah membuat sekian banyak analisis mengenai unjuran ekonomi dunia, kejatuhan harga komoditi, kos tanam semula pokok sawit tua dan ketidak stabilan urusniaga global yang menjadi petunjuk risiko kepada penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.
Perbincangan di buat melalui konvensyen, wacana dan penyerahan memorandum di serah kepada SKMM, Bank Negara, Suruhanjaya Securiti dan YAB Perdana Menteri sendiri. Ia kemudiannya dibukukan oleh Penasihat Ekonomi ANAK, Dr Rosli Yaakop melalui bukunya, ' Penyenaraian FGVH, menang sorak kampung tergadai'. Di hurai secara berfakta melalui semua dokumen yang diperolehi dari berbagai sumber.
Selepas dua tahun FGVH di senaraikan, iaitu 28 jun 2012; pada kadar terbitan RM4.55 Sesaham, dengan penurunan saham lebih 50%, baru sekarang Dato' Razali Ibrahim menyalahkan pasaran dunia??? Yang dulunya pemimpin UMNO terjerit2 mempertahankan penyenaraian FGVH di mana mereka sekarang?
Lebih dahsyat, Dato' Razali tidak menyalahkan Felda atas apa yang berlaku. Episod yang pedih dari zaman Dato' Bakee, kemudian Dato' Sabri, hinggalah pada Tan Sri Isa Samad; pengurusan Felda tidak salah?
Isa Samad pecat Dato' Dzulkifly Abd Wahab sebagai Pengarah Besar Felda, sekarang Dato' Faizoull Ahmad, hingga haru biru Felda; Dato' Razali masih berselindung lagi? Kesian pada beliau yang begitu naif mengenai keadaan Felda waktu ini. Atau enggan berterus terang mengenai dalaman Felda yang sedang parah!
Saya telah menghantar surat susulan kepada Tan Sri Isa Samad untuk bertemu, setelah gagal pada 23 dis lalu. Saya juga masih menunggu jawapan balas dari Dato' Razali mengenai tarikh baru perbincangan dua hala seperti yang dimaklumi bersama. Mari kita berbincang, ketepikan sentimen, demi kepentingan rakyat.
1.5 juta warga Felda samada Peneroka, Generasi ke 2 dan kakitangan kumpulan Felda sedang menanti tindakan Kerajaan mengenai masadepan FGVH yang sahamnya turun dan terus turun pada waktu ini. Ada orang kata, adatlah main saham, ada turun naik. HEBATnya saham FGVH, turun turun turun, tak naik naik!
Macam Amanah Saham Johor, turun turun turun, tinggal 15 sen, akhirnya lingkup!
Sumber Facebook Mazlan Aliman

‘Isteri Khianat’ Masuk Perangkap Suami Ketika Bersekedudukan Dengan ‘Mat Afrika’ Di Bilik Hotel..

Kuala Lumpur: Luluh hati seorang lelaki sejurus menangkap isterinya sedang bersekedudukan bersama seorang lelaki ‘Mat Afrika’ di dalam bilik hotel mewah di Bukit Bintang di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa yang juga seorang kontraktor dilapor menyerbu bilik hotel bersama dua anak saudara dan diiringi anggota polis.

Menurut sumber, lelaki berusia 50-an itu mengesyaki isterinya mempunyai kekasih gelap dan sering datang ke ibu kota untuk bertemu lelaki warga Nigeria itu. “Susulan itu lelaki berusia 50-an terbabit mengatur jerat dengan berpura-pura mahu pergi ke selatan tanah air atas urusan perniagaan.“Lelaki itu bagaimanapun menggunakan kenderaan lain untuk memantau rumah sebelum mengekori isterinya itu yang didapati meninggalkan rumah,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudiannya mengekori wanita itu sehingga ke ibu kota.
Sumber itu berkata, lelaki terbabit yang yakin isterinya mendaftar masuk ke sebuah bilik hotel di Bukit Bintang, di sini, bergegas ke balai polis berhampiran meminta bantuan pihak berkuasa untuk melakukan serbuan.

“Telahan lelaki itu terhadap kecurangan isterinya ternyata tepat apabila serbuan mendapati wanita itu sedang bersekedudukan dengan lelaki warga Nigeria. “Malah ketika ditemui, wanita itu dilapor dalam keadaan tidak berpakaian lengkap,” katanya.

Sehubungan itu, lelaki terbabit tampil membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee di sini, untuk tindakan lanjut. Dalam laporannya, lelaki terbabit yang juga ahli perniagaan menegaskan wanita terbabit masih isterinya. Sementara itu, sumber Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) mengesahkan perkara itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 27 Akta 559 (Akta Kesalahan Jenayah-Jenayah Syariah 1997).-Metro/31 Disember 2014

Takziah - Bekas Menteri Di JPM, Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin Meninggal Dunia..


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin (gambar) meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, malam tadi.
Allahyarham berusia 70 tahun. Menurut anak Allahyarham, Junaidi, bapanya meninggal dunia kira-kira 9.50 malam.
Hamid dimasukkan ke IJN sekitar 4 petang selepas mengadu sukar bernafas."Jenazah allahyarham akan dibawa pulang ke rumah di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn pada kira-kira 11 pagi hari ini," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham."Salam takziah kepada keluarga Brig Jeneral Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin atas pemergian beliau. Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah," kata Najib dalam catatan di laman Twitternya.
Anak kelahiran Bagan Datoh, Perak pada 20 Februari, 1944 itu merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2001 hingga 2004 selain pernah menjadi pengerusi Mara dari 2004 hingga 2008. Sebelum itu, allahyarham memegang jawatan ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari 1995 hingga 2001.Allahyarham dilantik sebagai senator dari 2001 hingga 2004 dan pernah menjadi ahli Parlimen Parit Buntar susulan Pilihan Raya Umum ke-11.Allahyarham turut dinobatkan sebagai Tokoh Ma'al Hijrah Kebangsaan 2013.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan allahyarham sebagai seorang tokoh yang disanjung ramai."Kita kehilangan seorang lagi tokoh. Allahyarham menyumbang dalam banyak perkara yang berkaitan dengan soal agama," katanya ketika ditemui di IJN. – Bernama, 31 Disember, 2014.

Tuesday, December 30, 2014

Mangsa Pesawat AirAsia QZ 8501 Di temui Terapung Di Laut Jawa...


Waris penumpang dan anak kapal pesawat AirAsia QZ8501 menunggu taklimat daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung operasi mencari pesawat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya. – Gambar AFP, 30 Disember, 2014.

Anggota mencari dan menyelamat (SAR) Indonesia menemui mayat terapung di lautan hari ini dalam operasi mencari pesawat AirAsia penerbangan QZ8501 yang hilang sejak Ahad, kata Ketua  Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia Bambang Soelistyo di sidang akhbar yang diadakan di Jakarta, hari ini.
Al-Jazeera turut melaporkan 6 mayat ditemui di Laut Jawa berhampiran di mana serpihan pesawat itu ditemui. Waris 162 penumpang dan anak kapal pesawat itu yang mengikuti sidang akhbar itu dari pusat krisis di Surabaya kelihatan saling berpelukan dan menangis.

Ahli keluarga menangis penuh emosi ketika menonton rakaman menunjukkan mayat  terapung di lautan di sidang akhbar itu.
“Pada jam 1.25 petang, kami melihat objek terapung dipercayai mayat salah seorang penumpang,” katanya.
Situasi di pusat krisis di Surabaya itu tegang dan penuh emosi, dengan ada yang menjerit dan menangis tidak berhenti.
Seorang lelaki pengsan dan terpaksa dibawa keluar dengan pengusung.
Bambang berkata satu pesawat tentera udara hari ini menemui 'bayang' di dasar lautan dipercayai pesawat AirAsia yang hilang itu.
“Tuhan merahmati kita hari ini.
“Pada 12.50 tengah hari pesawat tentera udara Hercules menemui objek digambarkan sebagai bayang di dasar lautan dalam bentuk kapal terbang,” katanya.
Bambang berkata pencarian kini akan tertumpu di lokasi di mana “bayang” dan serpihan itu ditemui, kira-kira 160km barat daya bandar Pangkalan Bun.
“Semua anggota mencari dan menyelamat akan dipindahkan ke lokasi itu.
“Tugas mereka ialah untuk mencari dan memindahkan semua objek atau mayat penumpang.
“Saya akan pastikan semua dibawa ke Pangkalan Bun, lokasi paling hampir dengan lokasi objek,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan serpihan yang ditemui hari ini dalam operasi pencarian udara pesawat AirAsia penerbangan QZ8501 disahkan sebagai sebahagian daripada pesawat yang hilang itu, lapor AFP memetik kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Indonesia, Djoko Murjatmodjo.
“Untuk masa ini, boleh disahkan ia adalah pesawat AirAsia dan menteri pengangkutan akan bertolak secepat mungkin ke Pangkalan Bun.
“Berdasarkan kepada pemerhatian anggota mencari dan menyelamat, beberapa benda penting ditemui seperti pintu penumpang dan pintu kargo. Ia di lautan, 160km barat daya Pangkalan Bun,” katanya merujuk kepada bandar di Kalimantan Tengah, di kepulauan Borneo.
Anggota pencari dan penyelamat Indonesia awal hari ini menemui beberapa objek kelihatan seperti slaid kecemasan dan pintu pesawat di lautan ketika menjejaki pesawat AirAsia yang hilang pada Ahad dalam ribut ketika merentasi Pulau Jawa.
Bambang berkata beliau 95% pasti serpihan yang dilihat di perairan Kalimantan, Indonesia itu adalah sebahagian daripada pesawat AirAsia yang dianggap terhempas 2 hari lalu.
“Saya pasti 95% rakaman gambar itu adalah serpihan disyaki daripada pesawat itu,” katanya kepada wartawan.
Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan dijadualkan tiba di Singapura pada 8.20 pagi tetapi hilang komunikasi dengan menara kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi.
Seramai 155 daripada mereka adalah warga Indonesia dan seorang dari Malaysia.
Sementara itu, pada 4.11 petang tadi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes di Twitter berkata:”Hati saya sangat sedih untuk semua keluarga terlibat dalam QZ8501. Bagi pihak AirAsia yang mengucapkan takziah untuk semua. Saya tidk boleh ucapkan dengan kata-kata betapa kesalnya saya.”
Beliau kemudian memaklumkan akan bergegas ke Surabaya.

“Kami di AirAsia akan melakukan segala yang termampu,” katanya di Twitter, dan ramai pengguna Twitter lain menyampaikan rasa simpati dan memintanya tabah. – TMI/30 Disember, 2014.

Serpihan Objek Berukuran Dua Meter Ada Kaitan Dengan Pesawat AirAsia Yang Hilang..?..

Indonesia 
amir@hmetro.com.my
 

Manggar, Belitung Timur: 
Satu serpihan objek berukuran dua meter ditemui nelayan tempatan malam tadi di perairan berhampiran Pulau Bangka dengan jarak kira-kira 20 Kilometer dari pesisir pantai pulau itu.
Gabenor Bangka-Belitung Rustam Effendi yang hadir di Pusat Operasi Pangkalan Tentera Nasional (TNI) Indonesia Angkatan Laut (AL) Bangka Belitung, Markas TNI AL Manggar, di sini, hari ini berkata, kapal akan digerakkan ke arah lokasi itu seandainya keadaan laut yang bergelora kembali tenang.

Katanya, pesawat sudah melakukan tinjauan dari udara bagi memastikan lokasi penemuan serpihan objek terapung yang dimaklumkan nelayan itu. "Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sudah melakukan tinjauan dari udara. Kita tidak mahu kehilangan petanda berkenaan kerana mungkin mempunyai kaitan dengan pesawat pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang tempoh hari. "Buat masa ini, kapal laut yang terbabit dalam operasi SAR belum dapat mendekati serpihan berkenaan berikutan keadaan cuaca buruk," katanya-Metro/30 Dis 2014

Geoffrey Thomas- ‘Pesawat QZ8501 Terbang Terlalu Perlahan Mungkin Punca Terhempas’..?


Navy soldiers work on a map of Indonesia monitoring all navy ships from Indonesia, Singapore, and Malaysia involved in the joint search and rescue operation for AirAsia flight QZ8501 at a navy base on Batam island, Indonesia, in this photo supplied by Antara Foto. – Reuters, December 30, 2014.

JAKARTA – Pesawat syarikat penerbangan milik Indonesia, AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang sejak awal pagi kelmarin disahkan terpaksa menempuh cuaca buruk selepas permintaan juruterbang untuk terbang lebih tinggi bagi mengelak awan tebal tidak dibenarkan pusat kawalan trafik udara (ATC).
Dalam komunikasi terakhir dengan ATC iaitu enam minit sebelum pesawat itu hilang, salah seorang juruterbangnya meminta kebenaran untuk membelok ke kiri dan mendaki dari ketinggian 32,000 kaki ke 38,000 kaki bagi mengelak cuaca buruk.
Pengarah AirAsia Indonesia, Bambang Tjahjono berkata, permintaan juruterbang berkenaan terpaksa ditangguhkan sementara oleh ATC kerana terdapat sebuah lagi pesawat yang terbang pada ketinggian 34,000 kaki. “Apabila ATC mahu memberi kebenaran, pesawat QZ8501 telah hilang,” katanya.
Pesawat QZ8501 disahkan hilang pukul 7.24 pagi kelmarin selepas ia terputus hubungan dengan ATC setelah meminta kebenaran untuk naik ke paras ketinggian 38,000 kaki bagi mengelak awan hujan. Kapal terbang jenis Airbus A320-200 itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Surabaya di Jawa Timur Indonesia menuju ke Singapura. Pesawat tersebut membawa seramai 162 penumpang dan kru terdiri daripada 155 warga Indonesia, tiga Korea Selatan dan masing-masing seorang dari Malaysia, Singapura, Perancis serta Britain.
Sementara itu, beberapa pakar penerbangan percaya kemungkinan pesawat berkenaan berdepan situasi yang dikenali sebagai ‘sel ribut hitam’ yang menyebabkan pembentukan ais di tolok kelajuan yang dikenali sebagai tiub pitot. Pembentukan ais itu disahkan sebagai punca nahas sebuah pesawat penerbangan AF447 milik Air France yang terhempas di Lautan Atlantik ketika dalam penerbangan dari Rio De Janeiro, Brazil menuju ke Paris pada tahun 2009.
Seorang pakar penerbangan, Geoffrey Thomas berkata, beliau telah berjumpa dengan beberapa juruterbang berpengalaman yang percaya pesawat QZ8501 berhadapan cuaca buruk tetapi terbang terlalu perlahan untuk mengelak keadaan berkenaan.“Pesawat QZ8501 terbang terlalu perlahan iaitu 100 knots (185 kilometer sejam) lebih perlahan daripada kelajuan yang sepatutnya. Terbang perlahan pada ketinggian tersebut sangat bahaya.“Beberapa juruterbang percaya kru pesawat QZ8501 cuba mendaki bagi mengelak cuaca buruk tetapi entah bagaimana, mereka terbang terlalu perlahan .“Ini boleh menyebabkan pesawat menjadi pegun sama seperti yang menimpa pesawat Air France AF447,” katanya.
Menurutnya, dia memperoleh plot radar yang menunjukkan pesawat itu berada pada ketinggian 36,000 kaki dan mendaki pada kelajuan 353 knot (653 kilometer sejam) iaitu 100 knot lebih perlahan.“Pesawat ini sepatutnya mendaki pada kelajuan kira-kira 453 knot (839 kilometer sejam) dan jika bacaan radar ini benar ia menunjukkan pesawat berkenaan terbang terlalu perlahan,” jelasnya.
Tambah Thomas lagi, keadaan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kepada pesawat jenis Airbus A320-200 tersebut yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih.“Kemungkinan kejadian ini mempunyai kaitan dengan keadaan cuaca yang ekstrem.“Mungkin ada sesuatu yang berlaku sehingga menyebabkan pesawat ini terbang terlalu perlahan.“Jika sebuah pesawat terbang terlalu perlahan pada ketinggian tersebut yang mempunyai udara yang nipis, sayap kapal terbang akan kehilangan daya angkat menyebabkan ia pegun dan terhempas,” jelasnya. – Agensi/Kosmo 30 Disember 2014

Pulau Pinang Di Landa Ribut, Puluhan Rumah Rosak Teruk..


Ribut di Balik Pulau, Pulau Pinang malam tadi menyebabkan pokok tumbang di atas kenderaan dan jalan raya. – Gambar The Malaysian Insider, 30 Disember, 2014.
Sekurang-kurangnya 10 rumah di Balik Pulau hampir musnah setelah dilanda ribut dan angin kencang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong Muhammad Farid Saad berkata beliau mendapat laporan terdapat lebih 10 buah rumah di sini termasuk di Kampung Sungai Rusa, hampir musnah apabila bumbung rumah ditiup angin kencang.
Beliau berkata angin kencang yang berlaku kira-kira jam 8.30 malam mengakibatkan banyak pokok tumbang menghalang jalan. "Saya ke Jalan Sungai Pinang untuk membantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mengambil masa lebih 45 minit untuk memotong pokok besar bagi membuka balik jalan kepada orang ramai," katanya.
Sementara itu, menurut seorang jurucakap polis, terdapat lebih 9 kejadian pokok tumbang di kawasan Balik Pulau dan satu kejadian kabel elektrik terputus dilaporkan.
Katanya seorang pemandu dikejarkan ke Hospital Balik Pulau selepas keretanya dihempap pokok yang tumbang di Jalan Tun Sardon. Beliau berkata kecederaan lelaki masih belum dapat dipastikan tetapi keretanya rosak teruk. "Antara lokasi kejadian pokok tumbang termasuk Jalan Tun Sardon, Jalan Sungai Pinang, Jalan Pondok Upeh, Jalan Titi Teras, Lintang Pokok Upeh dan Jalan Sungai Pinang," katanya. – Bernama, 30 Disember, 2014.

Monday, December 29, 2014

Sessi Persekolahan 2015 Bermula 11 Dan 12 Januari 2015 Untuk Seluruh Negara..


Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
Kementerian Pendidikan bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan 2015 di seluruh negara, selama seminggu, berikutan banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sekarang.
   
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan berkata dengan penangguhan itu, tarikh baharu sesi permulaan persekolahan tahun depan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari (Ahad), manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari (Isnin). "Penangguhan itu dibuat dengan mengambil kira sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau yang ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan. "Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
   
Muhyiddin berkata, sehingga semalam, Kementerian Pendidikan mendapati sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir. Sebelum ini, sesi persekolahan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dijadual dibuka pada 4 Jan manakala bagi negeri-negeri lain adalah 5 Jan. "Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan," katanya.
Beliau turut menasihatkan pihak pengurusan sekolah agar apabila keadaan banjir kembali pulih, mereka harus menggunakan tempoh itu untuk bergotong royong membersihkan kawasan sekolah, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan kepada murid-murid. Setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir di lima negeri yang terjejas adalah 225,722 orang.  - Bernama

Sunday, December 28, 2014

(Update) Pesawat AirAsia QZ 8501 Membawa 155 Penumpang Hilang Di Ruang Angkasa Pulau Kalimantan..

Pesawat AirAsia QZ8501 dengan 155 penumpang dalam perjalanan ke Singapura terputus hubungan selepas meninggalkan Surabaya pagi ini, menurut pihak berkuasa Indonesia.
Kapal terbang Airbus A320 meninggalkan Surabaya jam 5.20 pagi waktu Indonesia (6.20 pagi waktu Malaysia) dan kelihatan tidak dapat dihubungi sewaktu berada di udara Kalimantan, menurut laporan media.
Ia disahkan melalui tweet AirAsia yang dikeluarkan pada 11.47 pagi ini: AirAsia Indonesia regrets to confirm that flight QZ8501 from Surabaya to Singapore has lost contact with air traffic control at 07:24hrs this morning. (AirAsia Indonesia dukacita mengesahkan pesawat QZ8501 dari Surabaya ke Singapura putus hubungan dengan pusat kawalan udara pada jam 7.24 pagi ini).

Reuters memetik Hadi Mustofa dari Kementerian Pengangkutan Indonesia mengatakan kapal terbang itu putus hubungan dengan Jakarta pada jam 6:17 pagi waktu tempatan.
Ia dilaporkan meminta kebenaran menggunakan laluan "di luar kebiasaan."
Kapal terbang itu dijadualkan tiba di Singapura jam 8:30 pagi waktu Singapura (0030 GMT). Laman web lapangan terbang Singapura mencatatkan status penerbangan itu sebagai "ditangguh."
AirAsia Indonesia juga mengeluarkan tweet: "Pada waktu ini, kami tiada maklumat lanjut berhubung status penumpang dan anak kapal terbabit, tetapi kami akan terus memaklumkan semua pihak sebaik maklumat diperolehi."
Katanya, pesawat itu ialah jenis Airbus A320-200, dengan nombor pendaftaran PK-AXC. –TMI/28 Disember, 2014.

Saturday, December 27, 2014

Polis Mengesahkan Peluru Pelancar Roket "High Explosive Anti-Tank" Adalah Punca Letupan Di Gurun..

Polis hari ini mengesahkan kes letupan di sebuah rumah di Taman Ria Mesra, Gurun yang mengorbankan tiga nyawa Rabu lepas berpunca daripada peluru pelancar roket anti kereta kebal.
Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata peluru berkenaan, "High Explosive Anti-Tank" adalah jenis yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). "Letupan itu berpunca daripada peluru pelancar roket, yang digunakan untuk memusnahkan kereta kebal," katanya.
Bercakap pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian hari ini, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan ATM untuk menyiasat perkara itu. Katanya, pihaknya percaya terdapat lebih daripada satu bom yang meletup kerana kawasan kawah letupan itu luasnya kira-kira 1m, tetapi siasatan masih dilakukan. "Bom (peluru) itu memang digunakan oleh ATM dan mangsa yang meninggal itu cuba mengabstrak item berharga di dalam peluru," katanya.
Zakaria berkata polis kini masih mengutip serpihan daripada bom yang meletup untuk membantu siasatan selain merakam percakapan daripada penduduk taman berkenaan. "Kita juga mendapat kerjasama baik daripada ATM demi meningkatkan SOP (standard operation procedure), jika ia perlu diperbaiki. "Kita akan teruskan siasatan untuk mengenalpasti macam mana bom (peluru) itu dibawa keluar daripada kem latihan tentera," katanya.
Sementara itu, Zakaria berkata sehingga kini polis menerima 61 laporan polis berhubung kerosakan rumah yang dialami penduduk taman terbabit.
Dalam kejadian Rabu lalu, sebuah bom meletup di rumah milik seorang anggota tentera menyebabkan tiga maut dan dua mangsa cedera parah, manakala lebih 40 rumah terjejas akibat kesan letupan.
Letupan kira-kira 4.45 petang itu menyebabkan seorang anggota tentera, Ayub Hashim, 34; anak perempuannya berusia lapan tahun Nur Idayu Syahirah Ayob; serta anak jirannya Aqif Mohd Sharizal, 4, maut. Sementara itu, isteri Ayob, Sharifah Azlina Hashim, 30, yang mengandung enam bulan, dan jirannya Zuraida Mat Rotebe, 30, (ibu Aqif) cedera parah.
Anak dalam kandungan Sharifah Azlina dilaporkan meninggal akibat kejadian itu. – Bernama, 27 Disember, 2014.

Isu ‘Konsert Khayal’ Di Batu Ferringhi..? Kerajaan Negeri Patut Perjelaskan Kepada Rakyat..!


Konsert trance ini sudah menjadi budaya sehingga mengakibatkan kematian akibat dadah.

BATU FERRINGHI - Ketika penduduk di bahagian Pantai Timur Semenanjung bertarung dengan bencana alam, khabar angin mendakwa sambutan tahun baharu di sepanjang pantai di sini, akan dipenuhi dengan sambutan tidak bermoral.

Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat beberapa hotel dan penganjur yang mula mempromosikan konsert tahun baharu.
Bagaimanapun, ia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai berikutan negara masih dilanda musibah namun, ada yang langsung tidak prihatin dengan keadaan berkenaan. Beberapa penduduk di sini memberitahu risalah mengenai penganjuran sebuah konsert yang agak meragukan juga sedang giat dijalankan.

Seorang peniaga di sini yang enggan namanya didedahkan berkata, antara sambutan tahun baharu berkenaan dinamakan sebagai Trance Movement. “Melalui risalah yang saya dapat, ia akan dibuat secara terbuka di pantai, sama seperti konsert syarikat arak beberapa tahun lalu dan kerana ini kami tidak sedap hati. “Sekarang ialah waktu bencana negara, kenapa perlu diraikan program sebegini di tempat kami. Pelbagai khabar angin mengenai konsert itu seperti penyalahgunaan dadah dan arak sudah sampai ke pengetahuan orang kampung,” katanya kepada Sinar Harian.-SH/27 Nov 2014

Friday, December 26, 2014

Bantah Projek Babi, Lelaki ‘Serah’ Ayam Kepada MB Selangor..?

Lelaki yang mencetuskan kekecohan di perkarangan luar Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK), Shah Alam pagi ini, ditenangkan oleh seorang pegawai polis. Dia memberi alasan ingin menyerahkan ayam yang dibawa kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali. – Gambar The Malaysian Insider, 26 Disember, 2014.

Seorang lelaki pertengahan umur secara tiba-tiba mencetuskan kekecohan di perkarangan luar Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK), Shah Alam pagi ini ketika satu demonstrasi membantah projek ternakan ladang babi moden di Kuala Langat.
Berbaju oren sambil menutup muka dengan kain, lelaki itu cuba masuk ke Pintu 2 Bangunan SUK sambil memegang sangkar yang mengandungi dua ekor ayam.
Ketika dihalang pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, beliau memberi alasan mahu menyerahkan ayam itu kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali tetapi tidak dibenarkan.
"Mana MB?" katanya terketar-ketar menahan marah sambil melaungkan syahadah dan menggenggam bahu ketua Bahagian Gerakan IPD Shah Alam.

Beliau menyertai kira-kira 50 penduduk Tanjung Sepat, Sepang, berdemonstrasi dan menyerahkan memorandum bantahan projek babi di Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat. – TMI/26 Disember, 2014.

Thursday, December 25, 2014

Hikmah Banjir Menguji Keutuhan Iman...



BANJIR besar yang sedang melanda kebanyakan negeri ketika ini terhasil dari banyaknya taburan hujan dan tiupan angin monsun. Ia adalah sunnatullah ke atas alam ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya." (al-Mukminun: 18)


Demikian itu perlu kita mengimani, bahawa situasi yang sedang berlaku ini adalah dengan pengetahuan dan kekuasaan-Nya. Allah sedang menguji kita dengan curahan bermanfaat berupa rahmat dan rezeki. Dia juga sedang menguji keutuhan iman kita dengan melandakan sedikit kesukaran yang pasti Dia akhiri tempoh ini.

Maka kita sebagai hamba-Nya, wajib mensyukuri, berdoa dan bersabar untuk menerima atau menghadapi semua ketentuan ini. Firman-Nya yang bermaksud: "Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi serta kepada-Nyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepada-Nya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai terhadap perbuatan yang kamu lakukan." (Hud: 123)

PAS merakamkan simpati terhadap situasi yang sedang dihadapi kebanyakan penduduk di daerah banjir. Situasi sukar bersifat sementara yang menguji kemampuan ini wajib dihadapi dengan sabar.

Dalam menghadapi pelbagai situasi tidak terduga ini, PAS menasihati untuk saling tolong-menolong dan cakna antara satu sama lain serta mengikuti arahan pihak berkuasa.

Jentera PAS di semua peringkat sedang digerakkan bagi menghulur bantuan sedaya termampu. Kita berharap ia diterima seadanya. PAS juga dengan ini mengarahkan seluruh jenteranya untuk meneliti keperluan munasabah kepada mangsa banjir dan memberi khidmat dengan ikhlas serta kesantunan berhemah. Kepada seluruh petugas dari badan dan agensi kerajaan, PAS meminta agar urusan bantuan dilaksanakan dengan penuh amanah dan adil tanpa menghitung latar belakang politik. Insya-Allah, dedikasi anda akan dihitung pahala serta bakal beroleh ganjaran di sisi Allah kelak.

Kepada Kerajaan Persekutuan, saya mengesyorkan agar diumum peruntukan khas bagi setiap keluarga dan individu mangsa banjir khususnya para pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.-HD/24 Dis 2014

Wednesday, December 24, 2014

Misteri Kehilangan Pesawat MH 370 Di Dedah,Bekas CEO Syarikat Penerbangan Perancis Dakwa Tentera US Tembak Jatuh MH 370..

LONDON – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat penerbangan Perancis, Marc Dugain mendakwa, pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu terhempas kerana ditembak oleh tentera Amerika Syarikat (AS), lapor Mail Online kelmarin.
Dugain berkata, tentera AS yang berpangkalan di pulau Diego Garcia, Lautan Hindi menembak pesawat berkenaan kerana menyangka pesawat tersebut telah dirampas dan bakal digunakan untuk satu serangan pengganas.
Beliau merupakan bekas CEO syarikat Proteus Airlines tetapi syarikat berkenaan sudah tidak lagi wujud.
Dugain memberitahu akhbar Paris Match, teori itu berdasarkan dakwaan beberapa penduduk di kepulauan Maldives yang terletak berhampiran Diego Garcia bahawa mereka melihat pesawat jenis Boeing 777 berkenaan terbang rendah. “Beberapa nelayan di sebuah pulau kecil di Maldives memberitahu saya, mereka melihat sebuah pesawat besar yang mempunyai warna menyerupai pesawat MAS terbang rendah pada 8 Mac lalu,” katanya.
Dia juga mendakwa, ada penduduk di Maldives menemui satu alat pemadam api yang kosong dipercayai milik pesawat MH370 di satu kawasan perairan berhampiran pulau Baarah. Dalam satu wawancara de­ngan sebuah stesen radio Perancis baru-baru ini, Dugain yang kini menjadi penulis novel mendakwa, sumber perisikan memberi amaran kepadanya supaya tidak menyiasat kehila­ngan pesawat berkenaan. “Sumber perisikan itu juga memberitahu bahawa saya kini berdepan risiko tinggi dan menasihati saya supaya tidak meneruskan siasatan,” katanya.
Pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur, Malaysia menuju ke Beijing, China. Sehingga kini, punca pesawat berkenaan berpatah balik sebelum terputus hubungan masih kekal misteri. Pihak berkuasa Australia sedang mengetuai operasi mencari pesawat berkenaan yang dipercayai terhempas di satu kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi, barat Australia. – Agensi//Kosmo 24 Disember 2014

Tuesday, December 23, 2014

Banjir : Kenyataan Media Datuk Menteri Besar Kelantan..


Banjir di Negeri Kelantan masih lagi tidak menunjukkan petanda akan surut bahkan keadaan semakin mencemaskan. Musibah banjir ini adalah ujian Allah kepada kita semua yang telah ditetapkan bagi menguji keimanan dan kesabaran hamba-Nya. Oleh itu, kita wajib menerima dengan penuh lapang dada dan tabah.
Firman Allah yang bermaksud: “ Tiada sesuatu kesusahan atau bala bencana yang ditimpakan di muka bumi dan yang menimpa diri kamu, melainkan telah termaktub di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah teramat mudah bagi Allah ”.
( Surah Al-Hadid : 22 )
Oleh yang demikian, bersabarlah dengan musibah ini dan jangan sampai kita hilang perasaan sabar dengan berputus asa atau berprasangka buruk seakan-akan Allah tidak akan memberikan kita kebaikan pada masa hadapan disebabkan banyaknya kemusnahan atau kehilangan harta kita.
Pihak Kerajaan sebelum ini telah mengarahkan semua Jabatan-jabatan Negeri dan Persekutuan agar turun membantu mangsa-mangsa banjir disemua lokasi pemindahan. Junjung kasih di persembahkan kepada YTM Tengku Mahkota Kelantan, di atas keprihatinan baginda mencemar duli turun meninjau kesusahan rakyat serta memberi sumbangan kepada mangsa banjir. Termasuk juga Tengku Temenggong beserta Tengku Puan Temenggong Kelantan yang sanggup meluangkan masa bersama mangsa banjir. Tidak lupa juga kepada semua pihak termasuk Pihak Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri dan Jajahan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Bomba dan Penyelamat, Pasukan Keselamatan, Pasukan Perubatan, pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan dan seluruh sukarelawan yang berada di setiap lokasi banjir dan pusat pemindahan bagi kemudahan dan keselamatan orang ramai.
Disini, saya menyeru semua pihak kepimpinan dan rakyat khususnya pihak yang berwajib agar menganjurkan solat hajat dan bermunajat di seluruh masjid dan surau di seluruh Kelantan bermula pada hari ini bagi memohon kepada Allah agar dilindungi rakyat Negeri Kelantan khasnya dan Malaysia amnya daripada segala musibah banjir yang tidak mampu dihadapi oleh kudrat manusiawi. Diharap pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Halaqat, para guru pondok dapat mengepalai masyarakat bagi tujuan memudahkan urusan solat hajat tersebut.
YAB USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
1 Rabiul Awwal 1436/ 23 Disember 2014

Terlebih Muatan.??.Siling Apartmen Runtuh Bersama 2,000 ‘Coli’ Dan Seluar Dalam Wanita..!..


Nanning, Guangxi: Sejak sedekad lalu penghuni beberapa apartmen di sekitar bandar Yulin musykil kerana mereka menghadapi masalah sama - kehilangan coli serta pakaian dalam wanita. Selama sedekad itu juga mereka tidak menyangka pakaian dalam itu sebenarnya disembunyikan tidak jauh dari kediaman masing-masing. Longgokan itu disimpan di atas siling bilik tidur jiran mereka - seorang lelaki dikenali sebagai Tan.
Rahsia Tan terbongkar baru-baru ini apabila siling berkenaan roboh, sekali gus menyebabkan lebih 2,000 pasang dalam wanita itu bertaburan di bilik berkenaan. Media semalam melaporkan, Tan menyelinap ke banyak apartmen di sekitar kediamannya untuk mencuri coli dan seluar dalam wanita.

Sumber polis berkata, Tan, 30-an, menggunakan kunci pendua untuk menjalankan kegiatan berkenaan ketika penghuni sesuatu unit keluar bekerja. Namun polis tidak menyatakan bagaimana Tan mendapat kunci pedua itu. “Ketika disiasat, Tan mengaku salah dan mendakwa dia mengalami masalah psikologi. “Namun Tan tidak pasti sejak bila dia mula kemaruk menyimpan pakaian dalam wanita,” katanya.-Metro 23 Dis 2014

Lantang DAP Perjuang Penggunaan ‘Kalimah Allah’ Untuk Bukan Islam, Tapi Mengapa ‘Lantang’ Menentang Hudud..?

KETEGASAN DAP memperjuangkan hak bukan Islam Malaysia untuk menggunakan kalimah ALLAH dan kitab Bible BM amatlah mengkagumkan. Mereka berani mempertahankan apa yang dirasai betul, pada pendapat mereka, mengikut tafsiran mereka pada perlembagaan dan hak asasi manusia, meskipun terpaksa berdepan dengan cemuhan dan kritikan yang bertubi-tubi.
Tapi mengapa DAP mengambil sikap konfrontasi terhadap Pas yang ingin memperjuangkan agar hukum hudud dilaksanakan di Kelantan?
Hukum hudud adalah sebahagian daripada tuntutan agama orang Islam, yang wajib ditunaikan jika mampu. Ini adalah satu hak orang Islam untuk melaksanakan tuntutan agama mereka.Keinginan orang Islam untuk melihat pesalah-pesalah beragama Islam diadili menggunakan hukum yang ditentukan ALLAH dan bukan manusia perlu dihormati dan diberi ruang.

Sikap DAP yang sering mempertikaikan hasrat Pas untuk melaksanakan hudud telah menyebabkan masyarakat bukan Islam melihat hukum hudud jauh lebih teruk berbanding rasuah di dalam Umno.Ini terbukti apabila DAP menyatakan Putrajaya tidak akan dicapai oleh PR sekiranya hukum hudud dilaksanakan.Kenyataan DAP itu membina persepsi seolah-olah rasuah di dalam Umno boleh diterima bukan Islam berbanding hukum hudud yang cuba dilaksanakan oleh Pas Kelantan untuk mengotakan janjinya kepada rakyat Kelantan yang menyokongnya selama 23 tahun.

Betul kata DAP, orang bukan Islam yang menyokong PR tidak mengundi untuk hukum hudud dilaksanakan. Tapi rakyat Kelantan yang beragama Islam menyokong Pas pula mengundi untuk sebaliknya. Betul hak bukan Islam perlu dihormati, tapi hak rakyat Kelantan turut tidak boleh diabaikan.Sekiranya DAP boleh memahami perasaan orang Kristian yang dinafikan hak mereka menggunakan nama ALLAH dan Bible BM, mengapa DAP tidak boleh bertimbang rasa dengan perasaan rakyat Kelantan yang mengundi PAS kerana janjinya untuk melaksanakan hukum hudud?

DAP tak perlu bantah hudud sehinggakan hak orang Islam di Kelantan yang inginkan hukum hudud dilaksanakan turut dinafikan.Jika DAP terus nak bantah hudud pun, biarlah ia sekadar memperjuangkan agar bukan Islam tidak tertakluk pada hukum hudud – sebagaimana keberanian Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan orang bukan Islam tidak tertakluk pada fatwa yang melarang mereka untuk menggunakan 40 perkataan yang dikhaskan untuk orang Islam. Cukuplah berpolemik dalam hudud untuk menjauhkan bukan Islam daripada Pas, kerana pada masa yang sama, sikap hipokrit kamu dalam memperjuangkan hak-hak bukan Islam juga terdedah untuk tatapan ramai.

DAP suka bercakap mengenai rasuah, teruskan usaha itu kerana itu adalah persamaan perjuangan Pas, PKR dan DAP. Biar rakyat nampak rasuah adalah masalah lebih besar yang sedang menyakitkan negara ini dan bukannya hukum hudud yang cuba dilaksana di Kelantan secara demokrasi dengan melalui Parlimen.

Kalau DAP bangkitkan hukum hudud lagi, bolehlah kita sama-sama minta mereka fokus pada isu rasuah ya, kerana mereka bersetuju bahawa itu adalah isu yang lebih penting. Yang lain, kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju.

SH/23 Disember 2014- Nak Guna kalimah Allah,Tapi Tolak Hudud ? Oleh TIMMY SAY

Saham FGV Menjunam, Pengerusi ANAK Gagal Dapat Penjelasan Dari Kakitangan FGV..?


Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) melahirkan rasa kesal apabila pertemuan yang diatur dengan Felda Global Ventures (FGV) hari ini tidak seperti diharapkan.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata pertemuan itu yang diatur bagi tujuan mendapatkan gambaran sebenar tentang kejatuhan saham FGV yang semakin merudum, namun ketiadaan pegawai kanan FGV untuk berbuat demikian.
Kata Mazlan, pihaknya dimaklumkan kebanyakan pegawai kanan FGV sedang bercuti ketika ini, sedangkan FGV ketika ini berada dalam satu tempoh kejatuhan yang membimbangkan. "Bagaimana ketika saham FGV sedang menjunam jatuh ini, kebanyakan pegawai kanannya boleh bercuti? Jelas mereka menganggap kejatuhan saham ini sebagai satu perkara yang remeh," kata beliau yang ditemui sejurus menyerahkan memorandum kepada pegawai kanan bahagian Sumber Manusia, di Menara Felda, pagi tadi.

Bagaimanapun, Mazlan berkata beliau akan mengemukakan satu lagi surat untuk diadakan perbincangan bersama FGV dengan mengharapkan kehadiran Pengerusi Felda sendiri, Tan Sri Mohd Isa Samad untuk sama-sama bertukar pandangan.

Dalam pada itu, beliau turut mengatakan jika permintaan tersebut tidak diendahkan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil langkah lebih drastik bagi memastikan hak hampir 1.5 juta peneroka terbela. Selain Mazlan, turut serta pada pertemuan itu Penasihat Ekonomi Anak, Dr. Rosli Yaakop serta barisan kepimpinan Anak.
Ketika ini, harga saham FGV mencatatkan kejatuhan sebanyak RM2.32, berbanding harga tawaran awam sebanyak RM4.45 sesaham pada 28 Jun 2013. Ini bermakna peneroka yang membeli 800 unit saham pada harga RM3,640 pada masa penyenaraian dahulu telah kerugian sebanyak RM1,784 lebih-lebih lagi di waktu kejatuhan harga sawit. – HD-23/12/2014

http://penburukonline.blogspot.my/