Sponsor

Sunday, March 16, 2014

Musibah - Ketika Rakyat Berdoa Memohon Pertolongan Allah, Mereka Pula Berpesta...?..

SHAH ALAM - Penganjuran acara muzik terbesar selama tiga hari di Stadium Negara Bukit Jalil dilihat sebagai satu tindakan biadab dan tidak menghormati sensitiviti rakyat Malaysia. Naib Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Muhammad Farhan Mat Zin berkata, di kala negara sedang diuji ALLAH SWT dengan ketidaktentuan cuaca hingga dilaporkan 10,000 kebakaran hutan, jerebu pada tahap membimbangkan dan kehilangan MH370, namun pihak kerajaan masih membenarkan pesta muzik diadakan.


"Saya melihat ramai pihak menganjurkan solat hajat di masjid-masjid dan solat Istisqa memohon pertolongan ALLAH untuk menurunkan hujan, tetapi anak-anak muda terkinja-kinja berpesta di stadium," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, dengan lambakan pesta seumpama itu, dikhuatiri pertolongan yang dipinta dari ALLAH akan ditolak.

"Jangan mencabar kuasa ALLAH dan kita bimbang pertolongan ALLAH tidak diberikan dengan wujudnya lambakan pesta-pesta seumpama ini," katanya.


Kelmarin, enam individu termasuk seorang pelajar dari sebuah universiti di utara tanah air maut dan tiga kritikal disyaki akibat pengambilan dadah secara berlebihan ketika berhibur di acara muzik terbesar itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kesemua mangsa warga tempatan berumur 19 hingga 28 tahun dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), awal pagi semalam.

Mereka ialah Kamal Zekry Kamal Basha, 22, Victor Wong E Hern, 26, Sabreena Kamaruddin, 21, M Suresh, 28, Syazana Sohaime, 23, dan Nor Faizza Mohd Wazir, 27. Dua orang yang kritikal ialah warga Singapura dan seorang lagi warga tempatan, dalam lingkungan umur 19 dan 27 tahun yang kini menerima rawatan di PPUM dan di PPUKM.
Dalam satu sidang media semalam, Mohmad  berkata, ekoran keadaan ini, pihak polis sudah memberitahu penganjur bahawa konsert hari ketiga perlu dibatalkan tanpa alasan kerana menyebabkan masalah keselamatan...
SH/16 Mac 2014

Berikut Kenyataan MAPIM Terhadap Insiden Tersebut
HarakahDaily/16 Mac 2014

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memandang serius insiden enam anak muda meninggal dunia manakala dua lagi dalam keadaan kritikal kerana didakwa mengambil dadah berlebihan semasa menghadiri konsert berkenaan di Stadium Bukit Jalil malam semalam. 

Kami kesal betapa di kala seluruh negara resah dan cemas serta bersimpati dengan ahli keluarga MH 370 yang hilang, negara dikejutkan dengan keliaran anak muda terlibat dalam konsert yang tidak melambangkan budaya dan akhlak yang sepatutnya. Pihaknya tidak dapat menerima bagaimana konsert tiga hari itu dilulus yang dijangka menarik lebih 80,000 peminat untuk melihat barisan lebih 70 band dan artis dijadual antara 13hingga 15 Mac 2014.
Bantahan terhadap acara seperti ini sudah sering disuarakan, namun pihak berkuasa selalunya tidak mengambil kira protes yang disuarakan oleh pelbagai kelompok masyarakat. Justeru, ujarnya sikap liberal yang diamalkan oleh pihak berkuasa telah diambil kesempatan oleh penganjur yang memberi tumpuan untuk mengadakan acara yang menarik golongan generasi muda. 
Kekhuatiran masyarakat bahawa acara seperti ini akan memberi kesan negatif kepada generasi muda sudah kerap diangkat dan terbukti benar apabila berlaku insiden yang tidak diingini. Sebab itu kami menegaskan pihak berkuasa sepatutnya mengambilkira bantahan masyarakat kerana jika kerajaan jujur mewar-warkan rakyat diutamakan, acara seperti ini tidak harus diluluskan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan tempatan bersikap tegas untuk membendung sebarang acara liar seperti itu dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak atasan terutama orang politik yang sering diperguna oleh penganjur untuk mendapat kelulusan.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Mapim

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/