Sponsor

Monday, March 17, 2014

Jasa Perwira Negara Di Hargai Oleh Kerajaan Negeri Selangor.....

Sedih dan terharu. Demikianlah perasaan yang menyelubungi Norsalmah Nordi, 51, isteri kepada Allahyarham Koperal Raja Aizam Raja Mohid tatkala menerima sumbangan RM20,000 yang dihulurkan Kerajaan Selangor di sini hari ini.
Norsalmah yang merupakan suri rumahtangga sepenuh masa, ketika ini menumpukan perhatiannya bagi memastikan anak ketiga dan keempat yang masing-masing pelajar tingkatan lima dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Manakala dua lagi anak beliau baru sahaja menamatkan pengajian masing-masing di Universiti Multimedia Malaysia (UMM) Melaka dan Kolej Antarabangsa Ikip di Pahang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat menganggap sumbangan yang dihulurkan Kerajaan Negeri itu sebagai satu yang amat bermakna kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mangsa.
“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor. Ini satu penghargaan dan penghormatan kepada wira kita khususnya dua anggota saya yang terlibat.“Insya-Allah kami akan teruskan perjuangan menjaga keselamatan Negeri Selangor ini khususnya di Klang ini,” kata Kamarul Zaman. Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Serangan Warga Asing oleh Kerajaan Negeri Selangor di Surau Ar-Rahimiah, Pangsapuri Polis di sini hari ini. Koperal Mohd Aidil Mustaffa yang turut menerima sumbangan bernilai RM10,000 berkata kejadian yang menimpa dirinya dan Raja Aizam akan tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan tugas sebagai anggota keselamatan.
Sebelum itu, Exco Selangor, Dr Halimah Ali ketika menyampaikan ucapannya berkata sudah menjadi dasar kerajaan negeri untuk memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada anggota keselamatan yang terkorban dan RM10,000 kepada anggota tercedera ketika menjalankan tugas bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
“Tidak kira walaupun mereka tidak bertugas di Selangor tetapi Kerajaan Negeri memandang mereka sebagai wira yang menjaga keselamatan negara. “Pengorbanan mereka terlalu besar tidak ternilai. Kami memahami bahawa sumbangan RM20,000 yang diberikan ini tidak setara dengan pengorbanan dan kehilangan yang dirasai keluarga Allahyarham. “Cuma kita harap dapat membantu meringankan sedikit bebanan yang akan dipikul keluarga ini,” kata Dr Halimah.
Pada 4 Mac lalu, dalam kejadian di Taman Sentosa kira-kira jam 5.00 pagi, Raja Aizam, dan rakan setugasnya, Mohd Aidil, bergelut dengan sekumpulan warga asing selepas diserang hendap kumpulan berkenaan ketika melakukan rondaan di kawasan perumahan itu. Dalam kejadian itu, Raja Aizam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah akibat kecederaan di kepala manakala Mohd Aidil yang turut cedera parah terpaksa menerima rawatan khususnya di bahagian mukanya.
SK/17 Mac 2014

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/