Misi pencarian MH370 di selatan
Lautan Hindi gagal menemui objek yang imejnya dicerap oleh satelit China,
meskipun operasi semalam meliputi lokasi objek itu dikesan.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim
Australia (AMSA) dalam kenyataannya di sini hari ini, berkata AMSA menggunakan
maklumat yang disalur oleh China itu untuk memeta plot pencarian.
Hari ini, pencarian dibahagikan
kepada dua, dalam kawasan yang sama meliputi keluasan 59,000 kilometer persegi,
kira-kira 2,500 km dari barat daya Perth, kata kenyataan itu.
Sebanyak lapan pesawat dikerah
melaksanakan operasi hari ini termasuk empat pesawat awam iaitu dua Bombardier
Global Express serta sebuah Gulfstream 5 dan Airbus 319.
Satu daripada pesawat awam terbabit
berlepas dari Perth kira-kira 9 pagi, manakala tiga lagi dijadual berlepas
antara pukul 11 pagi hingga tengah hari.
Menurut kenyataan itu pesawat P8
Poseidon milik tentera udara Amerika Syarikat berlepas pada pukul 11 pagi,
manakala sebuah P3 Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berlepas
pada 11.45 pagi.
"Sebuah lagi P3 Orion RAAF akan
menyusul pada 2 petang," kata kenyataan itu yang menambah P3 Orion milik
tentera udara New Zealand akan berlepas pada 4 petang.
Kenyataan itu juga menyebut kapal
tentera laut Australia HMAS Success turut menjalankan aktiviti pencarian hari
ini.
"Sebanyak 20 sukarelawan
Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) dari Australia Barat ditugas sebagai
peninjau bagi pesawat awam hari ini dengan lima orang bagi setiap pesawat,
selain seorang Penyelaras Misi Penerbangan Aerorescue," kata kenyatan
itu.
Dua pesawat tentera dari China Ilyushin Il-76 sudah tiba di Pangkalan Pearce RAAF dan AMSA dimaklumkan pesawat terbabit sedia untuk dikerah esok. - Bernama
SH/23 Mac 2014
0 comments:
Post a Comment