Saintis David Mearns
meramalkan misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 bersama 239 penumpang
dan anak kapal yang hilang sejak 8 Mac akan menemui kegagalan, berdasarkan
kepada petunjuk sedia ada.
"Saya terpaksa bersikap
pesimistik dengan menyatakan misi pencarian MH370 berdepan kesukaran untuk
menemukan rangka pesawat itu di dasar laut di selatan Lautan Hindi berdasarkan
petunjuk yang ada," katanya dipetik daripada temuramahnya dengan China
Central Television, Sabtu lalu.
Beliau berkata, tempoh pencarian yang
kini sudah melebihi 20 hari akan menyebabkan rangka pesawat itu sudah pun
dibawa arus lautan ke pelbagai arah yang tidak diketahui. "Biarpun jika ada serpihan MH370
yang dapat dibawa naik, mustahil untuk menjejak kapal tersebut," katanya.
Mearns, yang juga pakar pencari kapal
karam dari United Kingdom, berkata beliau turut berpendapat kotak hitam MH370
tidak mungkin dapat dijumpai walaupun pelbagai peralatan dan teknik sedia ada
digunakan.
Katanya, semua peralatan dan
kemahiran itu masih tidak berupaya untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang
sejak 8 Mac lalu.
"Satu-satunya cara untuk
mendapatkan kotak hitam itu adalah dengan mencari dan menapis bangkai atau
serpihan pesawat yang ditemui," katanya.
Selain itu, beliau menjangkakan kos
pencarian pesawat MH370 lebih tinggi dengan angka mencecah US$45 juta (RM147
juta), mengatasi kos pencarian Air France di Lautan Atlantik pada 2009. "Pencarian MH370 memerlukan
dedikasi yang teramat tinggi dan perbelanjaan beratus juta dolar, memandangkan
ia sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Pada 24 Mac, Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak mengumumkan pesawat MH370 disahkan berakhir di selatan Lautan
Hindi selepas 17 hari hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing dari KLIA pada
jam 12.40 pagi.
Bagaimanapun, sehingga kini pasukan
mencari dan menyelamat belum menemui rangka atau serpihan pesawat MH370 di
kawasan yang dikatakan itu iaitu di kawasan barat Perth, Australia di Lautan
Hindi, berdasarkan kepada maklumat diperolehi daripada data satelit.
MI/31 Mac,
2014.
0 comments:
Post a Comment