Bagaikan langsung tiada kawalan.
Demikian gambaran yang dapat disimpulkan mengenai aktiviti penerokaan hutan di
Pahang sama ada ia dilakukan secara sah atau haram ekoran banyak hutan telah
digondol khususnya di daerah Bentong, Raub dan Cameron Highlands.
Apa yang membimbangkan ialah penerokaan
hutan secara tidak terkawal itu akan memberi ancaman serius terhadap sumber
bekalan air mentah di negeri ini dan menjejaskan sumber air berjuta-juta
penduduk Lembah Klang pada masa depan.
Semalam Kosmo! melaporkan mengenai kebimbangan
beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai mengenai kemungkinan
krisis air di Lembah Klang bakal berulang jika penerokaan hutan yang menjadi
tempat tadahan hujan di Selangor dan Pahang tidak diurus secara lestari.
Tinjauan Kosmo! di beberapa daerah di negeri Pahang
dalam tempoh seminggu lalu mendapati terdapat banyak aktiviti penerokaan hutan
yang tidak terkawal terutamanya di hutan simpan kekal dan kawasan tadahan
hujan.
Ketika tinjauan dibuat di Hutan Simpan Kekal Lentang, Bentong yang mempunyai
keluasan 1,338 hektar kelmarin, pemandangan dari luar menunjukkan kawasan hutan
itu bagaikan langsung tidak diusik, namun perkara sebaliknya berlaku di
bahagian dalam apabila lebih 78 hektar kawasan hutan simpan kekal berkenaan
telah digondolkan.
Tinjauan itu juga mendapati kawasan
hutan simpan tersebut telah dirosakkan dengan laluan balak sepanjang kira-kira
20 kilometer bermula dari pintu masuk hutan tersebut di Pejabat Hutan Kecil
Lentang hingga ke Kampung Sum Sum Hilir, Janda Baik dan Bukit Tinggi.
Laluan balak yang dibina itu dibimbangi
boleh mengakibatkan hakisan tanah dan ia masuk ke dalam Sungai Benus yang
mengalir ke kawasan Air Terjun Hutan Lipur Lentang sekali gus mencemarkan
kawasan perkelahan itu jika berlaku hujan lebat.-Kosmo/24 Jun 2014
0 comments:
Post a Comment