Sponsor

Thursday, June 26, 2014

Islamnya Bermula Dari Lembaran Sejarah Naskah Yang Lusuh Lagi Berdebu...


11
Dibilik yang agak suram, seorang lelaki yang bertubuh kurus terbongkok-bongkok menyapu lantai yang penuh berdebu sambil sesekali menyeka sawang-sawang yang berselirat.
Ketika leka menyapu, pandangannya hinggap pada lambakan buku lusuh yang bersepahan di lantai. Buku berbahasa Mandarin itu dicapai, dibelek-belek seketika dan dikumpulkan di satu sudut.
Isu kandungannya juga begitu asing baginya – sejarah peperangan Islam. Lantas, Tan Choon Heng melupakan naskhah itu, langsung menyambung kerja.
Minggu berikutnya, seusai bekerja, beliau pulang ke asrama yang baru dibersihkannya. Sambil melunjur kaki melepaskan lelah seharian bekerja, Choon Heng terpandang naskhah itu.
Dia membelek-belek semula. Atas sebab yang tidak dimengerti, Choon Heng mula membaca beberapa baris awal. Hatinya tertarik. Akhirnya kandungan buku itu dihadamnya dari sebaris hingga tamat.
Choon Heng masih berbaring, matanya lama merenung siling. Fikirannya juga menerawang – kagum dengan sikap mulia, keperwiraan dan ketinggian akhlak Rasulullah saw. Akhirnya, dia terlelap.
Sejak itu, Choon Heng mula membeli pelbagai buku lain berunsur Islam. Minatnya semakin bercambah-cambah. Konsep syurga, neraka, hari kiamat dan bermacam-macam lagi berbekas di hati. Semakin mendalami Islam, kejujuran dan keunikan agama itu kian dirasainya.
Antara sedar atau tidak, Choon Heng yang berusia 35 tahun juga kian rapat dengan beberapa kenalan beragama Islam. Akhirnya – selepas lima tahun, awal Januari lalu, Tan Choon Heng dengan penuh keyakinan mengucapkan kalimah: “Ashadu Allah Ilaha Illallah Wa Ashadu Anna Muhammad Rasulullah.”
Beliau berbuat demikian di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam upacara ringkas seusai solat Jumaat melalui Pegawai Pemudahcara dan Perhubungan dari Islamic Outreach ABIM (IOA), Khalid Abdul Samad.
Sejak itu, kehidupan Choon Heng atau nama Islamnya Muhammad Hamzah Tan berubah. Hidupnya lebih tenang. Beliau meninggalkan tabiat lama yang gemar berkaraoke sambil minum arak dan berjudi. Baginya kenikmatan sebegini tidak pernah dirasainya. Beliau sangat bersyukur.
Tanpa disedari, perubahan dirinya turut menggamit perhatian seorang rakan sekerjanya yang sudah berjinak-jinak mengenali Islam sejak beberapa tahun lalu. Pada tanggal 28 Mac, rakan sekerja berusia 45 tahun itu turut mengucapkan kalimah syahadah dan menggunakan nama Islamnya, Muhammad Anwar Shah Abdullah.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/