Jika kita tidak yakin terhadap
status halal dari Jakim, apa yang kita hendak makan? Tiada yang dapat kita
makan. Sama ada kita betul-betul yakin kepada kelulusan halal Jakim atau cuba
meyakininya, kita mesti terima apa yang Jakim putuskan, jika tidak kita tidak
dapat makan.
Cara mana Jakim kompiten menentukan sesuatu itu halal,
Jakim mesti meyakinkan orang ramai yang kini berada dalam suasana krisis keyakinan
terhadap Jakim. Demi bersangka baik, semuanya tidak mentakwil sangat
penemuan dua jenis coklat Cadbury yang dihebohkan itu adalah halal. Dan boleh
dimakan.
Bukti ia halal boleh ditunjukkan
pegawai tinggi Jakim makan dua coklat itu. Jakim boleh usahakan siaran Dr
Masitah Ibrahim dan Jamil Khir Baharom makan coklat. Semua stesyen TV siarkan
dari semasa ke semasa seperti promosi eloknya GST. Sekadar mereka makan belum menghilangkan tanda tanya
umum tentang relevennya Jakim. Mungkin Jakim kena cari kalau boleh dapatkan
Sheikh Yusuf Qardawi makannya jika boleh bagi mengembalikan keyakinan terhadap
coklat itu dan Jakim sendiri.
Persepsi orang ramai payah diubat. Mungkin bos Jakim
terpaksa berkorban berubah ke perkhidmatan lain, bagi laluan kepada orang yang
lebih diyakini mengepalai Jakim. Bukan disebabkan bos yang ada itu kurang
kelayakan tetapi dalam mengurus persepsi umum, pengorbanan seperti itu membantu
menenangkan orang ramai.
Kita boleh menerima coklat itu adalah halal, tetapi
apakah kita dapat memaksa tekak manusia. Ikan pari dan sembilang adalah halal,
tetapi ramai orang Terengganu tidak lalu menelannya. Berbelas-belas tahun
nelayan Terengganu membuang ke laut pari tangkapannya. Nelayan sungai pula
membuang ke sungai sembilang yang dibubu.
Saya dan abang-abang makan ikan air tawar sebab ia
halal dan tekak kami menerimanya tetapi tekak emak saya tidak menerimanya. Dia
akan muntah memakannya.
Tekak orang yang beriman lebih memilih. Jika makanan
yang dimasak oleh orang tidak beriman, mereka tidak berapa selera menjamahnya
sekalipun bahan masakan itu halal semua. Sebab itulah peniaga Cina mengambil
tukang masak Melayu dan mengambil orang Melayu jadi pelayan. Malah ada yang was-was ayam yang dihidangkan
disembelih atau tidak.
Mungkin kita anggap setengah orang Islam itu kolot
tidak makan apa yang boleh dimakan. Tetapi orang putih yang terbuka juga tidak
boleh dipaksa tekaknya makan durian. Presiden Obama semasa singgah di Malaysia
menggalakkan rombangannya makan durian tapi dia dikatakan tidak lalu
memakannya.
Sekarang bolehlah dua jenis coklat Cadbury itu
pasarkan semula di mana-mana. Penggemarnya sudah boleh makan semula, tetapi
tidak banyak yang dapat diharapkan mereka berselera untuk memakannya. Bagi penggemar setia itu ia tetap sedap. Tetapi kerana
babi itu haram, mereka tidak boleh dengar kalimah babi disebut ketika makan.
Nasi dan lauk yang dimasak sendiri tidak terdaya ditelan kerana mendengar orang
menyebut babi ketika makan. Apa lagi apabila mereka hendak makan coklat yang
pernah dikatakan mengandungi DNA babi. Semasa hendak menyuap ke mulut mereka
teringat ia pernah dikata ada DNA babi lalu kembang tekak hendak menelannya.
Kita boleh nasihatkan sekarang tidak ragu lagi coklat
itu halal. Makanlah! Tetapi tidak boleh hilangkan geli orang yang hendak
memakannya. Dan bila orang ragu dengan lain-lain makanan yang Jakim halalkan,
tiada apa dapat dibuat, melainkan persepsi Jakim terpaksa dipulihkan.
Pengorbanan diperlukan bagi memelihara Jakim dan
melekangkan geli tekak semua orang.
Subky Abdul Latif/MI/12 Jun, 2014.
0 comments:
Post a Comment