KES rogol, seks dan kekejaman seolah-olah sudah
menjadi penyakit baharu dalam dunia hari ini. Kes-kes tersebut tidak hanya
melibatkan golongan muda, malah kalangan warga emas juga tidak terkecuali.
Kes itu juga tidak hanya berlaku di negara miskin
yang kurang penguatkuasaan undang-undang tetapi ia juga berlaku di negara maju.
Satu kejadian yang menyayat hati pernah berlaku di
India dua tahun lalu apabila seorang pelajar fisioterapi telah dirogol di dalam
sebuah bas di Munirka, India. Kesemua enam orang lelaki lain di dalam bas
tersebut, termasuk pemandunya turut merogol gadis itu. Walaupun dia cuba
mendapatkan bantuan daripada orang awam, malangnya tidak ada siapa yang mahu
membantunya.
Akhirnya gadis tersebut mati ketika mendapat
rawatan kecederaan yang teruk di Singapura 13 hari kemudian.
Beberapa kes rogol berkumpulan yang berlaku di
negara kita juga sepatutnya membuka mata masyarakat betapa kita sebenarnya
sedang dalam keadaan berisiko.
Terbaharu, kes rogol berkumpulan melibatkan lebih
38 orang suspek terhadap dua remaja berusia 15 dan 17 tahun di Kelantan
merupakan sesuatu yang tidak dapat terjangkau dek akal. Kekejaman mereka yang bertopengkan syaitan itu amat
luar biasa. Tiada seorang pun dalam kalangan suspek itu mempunyai hati yang
mulia. Hakikatnya, mereka ini adalah manusia yang kejam
dan mempunyai perasaan rendah diri.
Dalam psikologi, banyak yang telah dibahaskan
mengenai perlakuan keganasan seksual yang dilakukan oleh manusia. Ada pendapat
yang mengaitkan pengalaman di alam kanak-anak yang penuh dengan kesulitan
menjadikan mereka memberontak apabila dewasa.Pandangan lain mengaitkan personaliti tertentu.
Misalnya, sifat sadism iaitu teruja untuk menyaksikan penderitaan yang dialami
oleh orang lain.
Dalam kes serangan untuk merogol, pelaku biasanya dikatakan
begitu asyik apabila melihat mangsa meronta meminta pertolongan dan kesakitan. Kedua-dua perspektif ini mungkin ada kaitannya
dalam kes rogol berkumpulan. Ia biasanya melibatkan sekumpulan lelaki yang
kurang berpendidikan.
Dalam kebanyakan kes, mereka juga terlibat dengan
pelbagai jenayah dan salah laku lain. Seperti yang dilaporkan di akhbar, suspek
bagi kedua-dua kes kejadian rogol terbaharu itu juga penagih dadah. Ia berkemungkinan, perogol yang ganas cuba
menunjukkan egonya terhadap manusia yang lemah dan dengan cara ini mereka
mendapat kepuasan. Mereka menjadi bahagia melihat orang lain menderita.
Tokoh popular psikologi, Sigmund Freud pernah
mempopularkan prinsip id, super-ego dan ego yang mentadbir hidup manusia. Id dikatakan sebagai naluri yang mahu mendapatkan
apa sahaja yang dihajatinya tanpa mengira sama ada ia sesuai atau tidak. Ia
seperti anak-anak yang memberontak untuk mendapatkan barang mainan tanpa
mengira sama ada ibunya mempunyai wang atau tidak.
Ego pula lebih kepada pertimbangan moral. Sekalipun
'id' memaksa untuk mendapatkan sesuatu, 'super-ego' pula melihat sama ada ia
beretika ataupun tidak. Contohnya, sekalipun kita berhajat untuk mendapatkan
wang tetapi sekiranya ia dilakukan dengan cara mencuri, 'super-ego' akan
menghalangnya. Ego pula cuba melihat ia secara realistik sama ada
sesuatu tindakan itu berbaloi ataupun tidak.
Pandangan Sigmund Freud ini mungkin tidak benar
dalam semua keadaan dan mendapat kritikan yang hebat. Namun, apabila melihat
beberapa kes rogol berkumpulan tanpa belas kasihan yang dilakukan oleh manusia,
pandangan Freud ini ada benarnya. Lihatlah bagaimana manusia telah sanggup melakukan
apa sahaja untuk memuaskan kehendak id tanpa mempertimbangkan sama ada
perbuatan mereka bermoral atau tidak.
Mereka mungkin tidak berfikir bahawa ia bukan
sekadar satu jenayah yang bakal dihukum di dunia. Bagi pelaku yang beragama
Islam, perbuatan tersebut adalah dosa besar yang akan dihukum di akhirat kelak. Mereka juga mungkin tidak mempertimbangkan kepuasan
hanya beberapa minit itu berbaloi dengan penderitaan yang dialami oleh mangsa
seumur hayat.
Kekejaman tidak akan berakhir selagi kita hanya
berfikir untuk keseronokan diri sendiri tetapi tidak mempertimbangkan hak orang
lain.- Kosmo/12 Jun 2014
0 comments:
Post a Comment