Menurut Kit Siang, kesungguhan PAS membantu calon DAP PRK Telok Intan, Dyana Sofya Mohd Daud begitu mengharukan.
Mengulas pertemuannya dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Institut Pemikiran Tok Guru, dekat sini semalam, beliau berkata, antara tujuan pertemuan itu adalah untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Sing Deo sebelum ini.
Gobind ketika mengulas kekalahan Dyana pada PRK Teluk Intan dilaporkan media meletakkan kesalahan kepada isu hudud yang diperjuangkan PAS.
Menurut Kit Siang, Gobind tidak bermaksud menyalahkan PAS sehingga calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat tewas dalam PRK itu. “Gobind ada sebut ianya (hudud) hanya antara faktor kekalahan, malah Gobind juga turut mengucapkan terima kasih di atas usaha PAS selama ini yang turun padang membantu berkempen sehingga di hari pilihan raya (pembuangan undi),” ujarnya.
Pelaksanaan hudud, ujar Kit Siang bukan isu utama pada PRK Teluk Intan baru-baru ini. Ketika ditanya pemberita tentang punca kekalahan sebenar DAP dalam PRK tersebut, beliau berkata ia masih dalam kajian dan puncanya masih belum diketahui. Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa isu hudud akan dijadikan isu utama oleh pihak tertentu pada pilihan raya umum akan datang.
Sehubungan itu, beliau menyarankan parti-parti komponen Pakatan Rakyat agar mempersiapkan diri untuk menangkis cubaan BN untuk menjadikan hudud sebagai senjata kempen pilihan raya.
Hadir sama mengiringi Kit Siang melakukan kunjungan hormat ialah bekas calon DAP PRK Teluk Intan, Dyana Sofya dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.-HD/13 Jun 2014
0 comments:
Post a Comment