Bapa kepada pengantin perempuan yang ditahan pegawai Jabatan Agama
Islam Selangor (Jais) semasa majlis perkahwinannya di kuil Hindu minggu lalu
menegaskan tidak akan membenarkan anaknya keluar daripada Islam, lapor akhbar
The Star.
Abdul Majid Gulam
Kader berkata keempat-empat anaknya dilahirkan oleh ibu bapa beragama Islam,
memandangkan ketika perkahwinannya, bekas isterinya juga dahulu memeluk agama
Islam. "Mereka
dilahirkan oleh ibu bapa yang beragama Islam," katanya
sepertimana dipetik akhbar itu.
Malah, bapanya yang seorang pengawal keselamatan itu juga
sememangnya beragama Islam dan bukannya mualaf seperti yang didakwa anaknya,
Zarinah. Abdul Majid turut
menafikan bahawa keluarganya beragama Hindu kerana ibu bapanya berasal dari
Pakistan dan berketurunan India Muslim.
Tambahnya,
bapanya sendiri yang membawa dia dan bekas isterinya, Vasantha ke Persatuan
Kebajikan Malaysia (Perkim) pada tahun 1979 untuk menukar agama ibu Zarinah dan
berkahwin dengannya. "Nama Islam
Vasantha adalah Zainab dan itu adalah nama yang diletakkan dalam sijil
kelahiran anak-anak," katanya. Justeru itu
katanya, apa sahaja dokumen yang diperlukan untuk keempat anaknya menukar nama
dan agama di Jabatan Pendaftaran Negara tidak akan dilakukan.
Abdul Majid juga berkata dia tidak pernah meninggalkan keluarganya
selepas anak lelakinya dilahirkan, tetapi dihalau keluar pada 2000 selepas
menegur anak perempuannya pulang lewat malam. Abdul Majid juga
mendakwa menjadi gelandangan sejak diusir keluar oleh keluarga isterinya.
Abdul Majid
mengakui Zarinah pernah datang melawatnya di tempat kerja dua bulan lalu bagi
menandatangani dokumen, namun pengawal keselamatan itu enggan melakukannya. "Saya
menolak dan berkata isu itu sepatutnya dibincangkan di rumah dan bukan di
jalanan," katanya.
Ahad lalu, Jais menyerbu majlis perkahwinan yang dijalankan mengikut
adat Hindu di kuil di Petaling Jaya berikutan aduan pengantin perempuan yang
dipercayai beragama Islam. Jais dikatakan
menerima aduan sejak Jumaat lalu dan mengarahkan tiga pegawai penguatkuasa
menjalankan siasatan dengan bantuan polis. Zarinah
kemudiannya dibawa ke pejabat Jais untuk disoal siasat setelah pegawai Jais
mendapati status agama di kad pengenalannya tertera beragama Islam.
Bercakap kepada
The Malaysian Insider sebaik sahaja dibebaskan, Zarinah memberitahu tidak akan
sesekali mengalah. Katanya, sejak
lebih daripada 20 tahun keluarganya berjumpa dengan ramai peguam untuk
menyelesaikan masalah itu, namun gagal. Zarinah juga
berkata sejak ibu bapanya bercerai, dia mengikuti ibunya mengamalkan agama
Hindu.
Sementara itu,
akhbar itu juga turut mendapat reaksi daripada ibu tiri Abdul Majid, Fatimah
Abdullah. Fatimah mendakwa
anaknya dan Vasantha kerap bertengkar ekoran daripada perbuatan wanita itu
membawa anaknya ke kuil ketika kecil. "Saya sudah membuat laporan mengenai hal itu kepada Jais dua
kali dalam tempoh beberapa tahun lalu, namun tiada tindakan yang diambil,"
katanya. – MI/ 7 Jun, 2014.
0 comments:
Post a Comment