Sponsor

Monday, August 10, 2015

Tun Mahathir – Singkirkan Individu Yang Menjadi Punca Kepada Masaalah Negara..?

Jalan paling mudah untuk menyelesaikan krisis negara ketika ini adalah dengan menyingkirkan individu yang menjadi punca kepada masalah tersebut iaitu Datuk Seri Najib Razak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir tidak mengatakan secara spesifik individu dimaksudkannya, bagaimanapun diketahui umum beliau paling lantang mengkritik Najib dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pernah menggesa peletakan jawatannya. "Penyelesaian kepada krisis ketika ini adalah mudah, buang orang yang bertanggungjawab buat semua ini. "Tapi penyelesaian mudah sebegitu juga sukar untuk dilaksanakan," katanya semasa dialog di Universiti Tunku Abdul Rahman, Kajang hari ini.
Namun, Dr Mahathir berkata tidak mengetahui bagaimana untuk menyingkirkan pemimpin nombor satu negara itu. "Masalahnya bagaimana nak lakukan? Bahagian itu saya tidak ada jawapan lagi," katanya.
Dr Mahathir semasa sesi soal jawab juga mempertikaikan kepimpinan negara yang tidak memberi contoh baik kepada orang ramai dengan mengaitkan dengan skandal RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi Najib."Apa pendapat anda? Adakah pemimpin sedia ada memberikan contoh yang baik apabila pemimpin kita sendiri mencuri RM2.6 bilion?" soalnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, menggunakan kaedah ganas bukan jalan terbaik menyingkirkan Najib tetapi tiba masanya orang ramai memberitahunya sampai masanya untuk beliau letak jawatan."Kita perlu mengambil tindakan tapi bukan secara ganas, tapi kita perlu (beritahu) tiba masanya untuk kamu pergi (letak jawatan)," katanya.
Dr Mahathir sebelum ini pengkritik lantang terhadap pentadbiran Najib, khususnya dalam isu membabitkan 1MDB yang terpalit dengan banyak skandal kewangan.Beliau juga sebelum ini pernah menggesa supaya Najib melepaskan jawatannya, namun sebaliknya berlaku apabila Najib memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet dan menteri lain yang tidak sehaluan dengan pendiriannya dalam isu 1MDB.
Mengenai calon pengganti Najib, Dr Mahathir berkata, tidak semestinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang baharu dilantik timbalan perdana menteri akan naik menjadi pengganti, tetapi sebaliknya ia mesti diputuskan parti sendiri."Itu untuk Umno buat keputusan, bukan sahaja untuk Zahid yang buat keputusan ataupun Najib buat keputusan."Umno perlu buat keputusan. Sebab Umno masih ada timbalan presiden yang dipilih, Zahid tidak terpilih menjadi timbalan," katanya.
Beliau sebaliknya mengatakan supaya tunggu sehingga Umno membuat keputusan terlebih dahulu dalam mencari pengganti Najib jika berlaku peletakan jawatan perdana menteri."Jadi kita kena tunggu, apa keputusan Umno nak buat," katanya. TMI/10 Ogos, 2015.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/