Sponsor

Wednesday, August 19, 2015

Mana Yang Lebih Patut Di Berikan Keutamaan, Rakyat Atau Panda..?

Semalam perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak memuat naik tulisan di akaun Twitter dan Facebook miliknya menzahirkan kegembiraan atas kelahiran seekor anak panda di Zoo Negara.
Liang Liang, ibu panda yang dirujuk Najib di dalam tulisan beliau itu merupakan salah seekor dari dua ekor panda yang dihadiahkan kerajaan China tahun lalu sebagai simbol hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China. Seekor lagi bernama Xing Xing.
Saya tidak mahu mengulas panjang tentang keterujaan dan kegembiraan Najib dalam meraikan kelahiran anak panda itu kerana beliau berhak untuk menulis dan memuatnaik apa saja menerusi akaun media sosial miliknya.
Namun begitu, kegembiraan Najib itu ternyata tidak dikongsi majoriti pengikut akaun media sosial beliau. Jika dibaca respons yang dimuat naik, rata-rata dari mereka bersikap sinis dan memperolok-olok kenyataan Najib. Barangkali masyarakat sudah mulai tidak peduli dengan hal panda yang suatu ketika dulu pernah menjadi tumpuan umum.
Mutakhir ini, dengan pelbagai isu dan krisis yang melanda pentadbiran negara, rakyat semakin bersikap sinis dan kritis terhadap apa jua yang mereka baca dan apa yang dilaporkan media kepada mereka.
Bermula tragedi kehilangan pesawat MH370, pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri, penahanan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan terkini isu berkaitan ‘derma’ wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib serta kemerosotan nilai Ringgit – membuatkan rakyat semakin resah dan beremosi. Ini dirumitkan lagi bila mana penjelasan terhadap isu-isu penting melibatkan kepentingan negara dan rakyat tidak ditangani dengan sewajarnya.
Rakyat melihat tiadanya ketelusan dan kejujuran di pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah dan menambahbaik kualiti kehidupan mereka. Kenaikan kos sara hidup, peningkatan kadar pengangguran dan jenayah yang berleluasa terus mendera dan menghimpit kehidupan mereka. Najib perlu meletakkan keutamaan yang sewajarnya dalam pentadbiran beliau. Hal-hal mendesak membabitkan tata kelola ekonomi dan urus tadbir perlu ditangani secara serius dan beriltizam.
Kepimpinan adalah amanah dan tangungjawab. Ia bukan sesuatu yg boleh diambil ringan dan dilaksana secara main-main dan seronok-seronok. Usah biarkan emosi rakyat sampai ke satu tahap di mana mereka akan terus-terusan memandang sinis dan memperolok-olokkan kepimpinan beliau.
Keutamaan seseorang pemimpin adalah rakyatnya. Jangan sampai panda dari China disusukan, rakyat sendiri sengsara kelaparan.- TMI/19 Ogos, 2015.
Tulisan: Najwan Halimi, mantan Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/