Sponsor

Friday, August 21, 2015

Pemimpin Dan Pembantu Yang Baik Adalah Mereka Yang Bertaqwa..

Gambar Sekadar Hiasan
JIKA ditanya sesiapa sahaja yang matang pemikirannya, adakah mereka mahukan pemimpin yang baik? Jawapannya sudah pastilah "ya". Bukankah begitu? Menjadi orang bawahan yang dipimpin oleh seorang ketua yang baik adalah harapan dan dambaan kita. Ia suatu nikmat dalam kehidupan.Imam Nawawi dalam Riyadh al-Salihin meletakkan satu bab yang bertajuk "Galakan Kepada Sultan, Pemerintah dan Selain Mereka Daripada Ulil Amri Supaya Melantik Menteri yang Baik dan Peringatan Supaya Mereka Tidak Berdamping dengan Orang yang Jahat serta Menerima Pandangan Mereka."
Ya, tajuknya agak panjang. Membaca tajuk bab sahaja pun kita sudah tahu apa yang ingin disampaikan oleh Imam Nawawi dalam bab ini. Lalu, beliau memulakan dengan membawa ayat 67, Surah Al-Zukhruf bermaksud: "Teman-teman akrab pada hari itu (kiamat) sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang yang bertakwa."
Imam Ibn Kathir mentafsirkan ayat ini: "Semua hubungan persahabatan yang bukan didasarkan kerana ALLAH SWT, sesungguhnya pada hari kiamat ia akan bertukar menjadi permusuhan, melainkan apa yang dilakukan kerana ALLAH akan kekal selamanya." (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Damsyik: Darul Faiha’, 1998) 4/170)
Mengapa Imam Nawawi memasukkan ayat tersebut dalam bab ini? Apa kaitannya dengan pemimpin? Sudah pasti ada mesej yang ingin disampaikan.

Teman rapat pemimpin

Pemimpin perlu perhatikan siapakah yang menjadi teman rapat mereka. Siapa yang dilantik menjadi menteri dan pembantu dalam pasukannya. Siapakah yang mereka lantik dan mendengar nasihat daripada mereka. Jika semua hubungan itu tidak didasarkan dengan niat yang betul kerana ALLAH, dibimbangi mereka semua bakal bertukar menjadi musuh di akhirat kelak.

Di dunia, mungkin merekalah yang paling taat dan setia membela. Jika ketua berkata "ya", mereka turut mengucap kata yang sama. Begitulah sebaliknya. Jika ketua berkata "putih", putihlah jawapan mereka, walau pun sebenarnya mereka mengetahui ia hitam. Namun, ini hanya di dunia. Akhirat esok, segala-gala boleh berubah. (Oh ya ... mungkin ada yang akan berkata esok bukan lagi hari akhirat).

Justeru, apakah ciri-ciri yang dilihat untuk dilantik sebagai pembantu dalam melaksanakan amanah kepimpinan? Jika benar segalanya kerana ALLAH, pemimpin yang jujur tidak akan memilih mereka yang pandai menipu dan kaki mengampu. Tetapi yang akan dilantik ialah mereka yang mempunyai kelayakan dan kemahiran dalam menguruskan pentadbiran. Lebih utama, mereka berani mempertahankan keadilan dan kebenaran bagi memperjuangkan hak rakyat jelata.

"Kecuali orang-orang yang bertakwa." ALLAH meletakkan pengecualian ini pada hujung ayat. Orang yang bertakwa, hubungan persahabatan mereka kerana ALLAH. Memimpin kerana ALLAH. Bukan kerana sogokan pangkat dan harta kekayaan. Tidak juga kerana takut rahsia kejahatan didedahkan.

Takwa integriti tinggi
Sifat takwa mampu membina nilai integriti yang tinggi dalam diri seorang pemimpin. Takwa menjadikan seorang pemimpin takutkan ALLAH dengan sebenarnya. Tidak sesekali berani merompak harta negara, menerima rasuah dan menipu rakyatnya.

Jika pembantu yang dilantik mempunyai nilai takwa, mereka bukan sahaja menjadi pembantu di dunia, bahkan hubungan tersebut akan berkekalan dalam kebaikan hingga ke akhirat. Takwa menyelamatkan diri pemimpin daripada neraka. Takwa akan membawa pemimpin untuk masuk mengacapi nikmat syurga.
Kemudian, Imam Nawawi membawa pula hadis berikut:
Daripada Abu Said dan Abu Hurairah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "ALLAH tidak akan mengutus seorang nabi dan tidak mengangkat seorang khalifah kecuali dia  memiliki dua kelompok orang-orang dekat, satu kelompok memerintahkannya untuk berbuat baik dan menganjurkannya. Satu kelompok lagi memerintahkannya untuk berbuat jahat dan memprovokasinya. Sedangkan orang-orang yang terpelihara (maksum) ialah sesiapa yang dipelihara ALLAH." (Riwayat Bukhari)

Kenal pasti pembantu
Pemimpin yang bijak sentiasa mengenal pasti siapakah dua golongan rapat yang berada di sekelilingnya. Satu golongan yang inginkan kebaikan dalam pemerintahannya. Justeru, mereka akan pastikan ketuanya tidak hanyut dalam penyelewengan dan khianat kepada amanah yang rakyat berikan. Semua keputusan yang dibuat demi memastikan kebajikan rakyat terbela.

Ibn Hajr Al-‘Asqalani dalam Fath Al-Bari semasa menghuraikan hadis ini membawakan riwayat daripada Muawiyah bin Salam: "Kelompok ini akan menyerunya dengan perkara kebaikan dan mencegahnya daripada melakukan kemunkaran." (Ibn Hajr, Fath al-Bari (Riyadh: Dar Al-Salam, 2000) 13/234)

Satu golongan lain yang rapat dengan pemimpin ialah yang menghasutnya untuk melakukan kejahatan. Sama ada golongan ini mencari jalan untuk rapat dengan pemimpin atasan supaya mereka boleh  "menasihatinya" atau lebih malang jika mereka yang dilantik menjadi menteri bagi menguruskan hal ehwal pentadbiran negara.
ALLAH berfirman: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu ambil teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-henti menimbulkan kemudaratan kepadamu." (Surah Ali Imran: 118)
Dalam sebuah hadis lain, ‘Aisyah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila ALLAH menghendaki kebaikan bagi seorang ketua, maka ALLAH menyiapkan baginya menteri yang jujur. Jika ketua itu terlupa, dia mengingatkannya. Jika ketua dalam keadaan ingat, dia akan menolongnya. Apabila ALLAH inginkan keburukan kepada seorang ketua, akan dijadikan kepadanya menteri yang jahat. Jika ketua terlupa, dia tidak mengingatkannya. Jika ketua dalam keadaan ingat, dia tidak membantunya." (Riwayat Abu Daud dengan sanad baik di atas syarat Imam Muslim)

Inilah tanda kebaikan dan keberkatan yang ALLAH kurniakan kepada seseorang pemimpin. Pemimpin yang adil, amanah, jujur dan bercakap benar pasti memilih menteri, pegawai dan orang-orang rapatnya yang juga mempunyai sifat yang sama atau lebih baik daripadanya. Sebaliknya, jika ALLAH mahukan keburukan kepada seseorang pemimpin, ditutup segala pintu keberkatan. Bahkan mereka yang rapat dan menjadi penyokongnya pula terdiri daripada mereka yang lemah dan tidak berkualiti. Tidak berani menegur ketuanya yang melakukan kesalahan. Lebih parah apabila mereka turut meredainya lalu dibela dengan segala hujah dan helah yang direka cipta.
Namun, apa yang benar tetap kekal menjadi kebenaran walau seluruh manusia cuba menafikannya. Pemimpin yang adil, jujur dan bercakap benar, di akhirat kelak, bakal mendapat naungan ALLAH. Pemimpin yang tidak adil dan berdusta, lambat laun mereka pasti akan mendapat balasannya. Jika tidak di dunia, sudah pasti di akhirat sana. Sementara kesempatan masih ada, muhasabah diri. Fikirkan apa jawapan yang bakal diberikan di hadapan ALLAH nanti. Kita mencari pemimpin yang jujur.

Abd Razak Muthalib

Penulis ialah Perunding Latihan & Motivasi di AiTC.
Graduan Ijazah Sarjana Ilmu Wahyu UIAM

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/