PUTRAJAYA - Anggota keluarga atau
suami kepada pesakit wanita yang dirakam gambar oleh seorang doktor ketika
menerima rawatan di sebuah hospital di Johor Bahru boleh mengambil tindakan
undang-undang terhadap pengamal perubatan tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berkata, tindakan tersebut telah
mengaibkan maruah wanita terbabit apabila gambar berkenaan turut menampakkan
bahagian sulitnya. "Gambar itu kemudian disebarkan
menerusi laman sosial sekaligus boleh memalukan dan menjejaskan imej pesakit
wanita terbabit. "Selain menyalahi etika sebagai
pengamal perubatan, doktor dan kakitangan pada waktu itu tidak wajar merakam
gambar kerana mengundang pelbagai tanggapan negatif kepada hospital,"
katanya kepada media selepas mempengerusikan sesi percambahan minda Mesyuarat
Majlis Penasihat dan Perunding Wanita, di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan seorang
doktor wanita di sebuah hospital di Johor Baharu yang merakam gambar secara
selfie sambil menunjukkan isyarat 'peace' dengan pesakit itu dalam posisi
bersalin. Perbuatan itu telah mengundang
kemarahan orang ramai terutamanya pengguna laman sosial yang turut mengecam
aksi merakam gambar terbabit. Pada masa sama, Rohani meminta orang
ramai agar tidak menyebarkan gambar tersebut kerana ia boleh terus memalukan
dan mengaibkan maruah pesakit wanita berkenaan."Bayangkan sekiranya perkara ini
berlaku pada diri sendiri, mungkin kita turut merasa malu seperti dialami
wanita terbabit," katanya. - Bernama
0 comments:
Post a Comment