Sponsor

Tuesday, July 15, 2014

Pemimpin ‘Terpinggir’ Nur Misuari Di Dakwa Dalang Penculikan Di Pulau Mabul, Sabah...

Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari terlibat dengan menggunakan kumpulan sendiri beberapa kumpulan lain dalam melakukan pencerobohan dan penculikan di Sabah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar).
Beliau berkata kegiatan itu dilakukan dengan tujuan mengumpul dana bagi membentuk semula tentera upahan Nur Misuari selain bagi mengembalikan semula pengaruhnya di selatan Filipina. Katanya umum mengetahui bahawa Nur Misuari tidak mendapat sokongan dan tidak dibabitkan dalam Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) yang ditandatangani kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi membuka jalan ke arah penyelesaian politik di Mindanao pada Mac lepas.
"Kita tidak mempunyai apa-apa hubungan secara langsung dengan Nur Misuari, tapi kita yakin beliau mempunyai matlamat lebih besar. Beliau bersekongkol dengan individu yang disebut berada dalam Kesultanan Sulu yang berhasrat untuk mengambil alih Sabah," katanya pada pada sidang media di majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian Dalam Negeri di Masjid Al-Mujahiddin di Kuching.
Beliau mengulas insiden serang hendap di Pulau Mabul, Sabah pada Sabtu lepas yang menyaksikan seorang anggota polis terbunuh dan seorang lagi diculik.
Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor mendakwa pembabitan Nur Misuari dalam insiden itu setelah tidak berpuas hati kerana dipinggirkan daripada proses rundingan damai dengan kerajaan Filipina sehingga membawa kepada pembentukan wilayah autonomi Bangsamoro.

Rahim dilaporkan berkata kumpulan berkenaan kecewa kerana kerajaan Malaysia tidak lagi memberi sokongan kepada mereka malah sebaliknya mengambil pendirian menyebelahi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Zahid berkata Nur Misuari dilihat amat yakin bahawa Sabah boleh diambil alih oleh individu yang mengaku daripada Kesultanan Sulu dan dia (Nur Misuari) mahu terlibat sama. "Di sini, saya ingin beritahu bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia. Kita tidak akan benarkan walau satu inci pun tanah Sabah diceroboh oleh mana-mana penduduk luar," katanya.
Beliau berkata Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), yang mulai hari ini dipegang oleh pasukan polis, akan memastikan sebarang tindakan dibuat berdasarkan prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Ketika meminta masyarakat tempatan memberi sokongan penuh kepada Esscom bagi memastikan keseluruhan kawasan itu selamat, Zahid turut memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang memberi maklumat mengenai kawasan berkenaan kepada pihak luar. Menurutnya beliau sedar ada penduduk setempat sama ada pemastautin tetap, sementara, atau yang berada dalam negara secara haram yang memberi maklumat kepada kumpulan penceroboh luar.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia menjalin kerjasama yang baik dengan kerajaan Filipina termasuk menerusi pasukan polis dan pelbagai agensi keselamatan lain dalam mengumpul maklumat serta penguatkuasaan. – Bernama/15 Julai 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/