Sponsor

Monday, June 30, 2014

GAMIS - Universiti Perlu Bebas Dari ‘Cengkaman’ Kuasa Politik...

Tindakan pihak Kementerian Pendidikan dan  pentadbiran Universiti Malaya (UM) mengarahkan Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman untuk meletakkan jawatan sebagai pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) adalah satu tindakan mengokong kebebasan bersuara ahli akademik.

Dimaklumkan juga, Prof Redzuan tidak diperbaharui kontrak beliau sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM atas alasan kelantangan beliau dalam mengemukakan kajian politik dan pilihan raya yang tidak menguntungkan pihak kerajaan.

Universiti adalah sebuah institusi pembangunan minda dan tamadun dalam sebuah masyarakat dan negara. Universiti perlu bebas dari sebarang kongkongan kuasa politik supaya mampu menyeimbangkan antara kuasa dan nilai dalam masyarakat.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) melihat insiden yang berlaku adalah sangat tidak wajar dan mesti dikecam. Pasca PRU13 dengan jelas bahawa ahli akademik dan mahasiswa terus ditekan dari bersuara. Beberapa perancangan terancang telah dijalankan oleh pihak universiti untuk mengawal dan menyekat kebebasan akademik di universiti.

Tambahan pula dengan sekatan yang telah dibuat oleh pentadbiran universiti seperti pembatalan program intelektual di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kes 25 orang mahasiswa di dakwa dibawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akta 174 menjelang tahun 2014 sudah cukup membuktikan kerajaan sudah terdesak.

Seluruh mahasiswa dan ahli akademik juga tidak akan lupa dengan  kes pemecatan Dr. Aziz Bari sebagai pensyarah di UIAM pada tahun 2011.

Justeru itu, Gamis mendesak pihak kerajaan dan pentadbiran universiti untuk membebaskan bumi kampus dari cengkaman kuasa parti politik. Gamis akan terus menggoncang tembok pembodohan minda di kampus-kampus agar roboh dengan program-program pendidikan politik dan desakan kepada pihak berwajib.


Abdul Malik Ab Razak
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis)
SH/30 Jun 2014

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/