Sponsor

Thursday, June 12, 2014

Dengar Saja ‘Kalimah’ Babi, Tekak Pun Naik Meloya Nak Menelan...?..

Jika kita tidak yakin terhadap status halal dari Jakim, apa yang kita hendak makan? Tiada yang dapat kita makan. Sama ada kita betul-betul yakin kepada kelulusan halal Jakim atau cuba meyakininya, kita mesti terima apa yang Jakim putuskan, jika tidak kita tidak dapat makan.
Cara mana Jakim kompiten menentukan sesuatu itu halal, Jakim mesti meyakinkan orang ramai yang kini berada dalam suasana krisis keyakinan terhadap Jakim. Demi bersangka baik, semuanya tidak mentakwil sangat penemuan dua jenis coklat Cadbury yang dihebohkan itu adalah halal. Dan boleh dimakan.
Bukti ia halal boleh ditunjukkan pegawai tinggi Jakim makan dua coklat itu. Jakim boleh usahakan siaran Dr Masitah Ibrahim dan Jamil Khir Baharom makan coklat. Semua stesyen TV siarkan dari semasa ke semasa seperti promosi eloknya GST. Sekadar mereka makan belum menghilangkan tanda tanya umum tentang relevennya Jakim. Mungkin Jakim kena cari kalau boleh dapatkan Sheikh Yusuf Qardawi makannya jika boleh bagi mengembalikan keyakinan terhadap coklat itu dan Jakim sendiri.
Persepsi orang ramai payah diubat. Mungkin bos Jakim terpaksa berkorban berubah ke perkhidmatan lain, bagi laluan kepada orang yang lebih diyakini mengepalai Jakim. Bukan disebabkan bos yang ada itu kurang kelayakan tetapi dalam mengurus persepsi umum, pengorbanan seperti itu membantu menenangkan orang ramai.
Kita boleh menerima coklat itu adalah halal, tetapi apakah kita dapat memaksa tekak manusia. Ikan pari dan sembilang adalah halal, tetapi ramai orang Terengganu tidak lalu menelannya. Berbelas-belas tahun nelayan Terengganu membuang ke laut pari tangkapannya. Nelayan sungai pula membuang ke sungai sembilang yang dibubu.
Saya dan abang-abang makan ikan air tawar sebab ia halal dan tekak kami menerimanya tetapi tekak emak saya tidak menerimanya. Dia akan muntah memakannya.
Tekak orang yang beriman lebih memilih. Jika makanan yang dimasak oleh orang tidak beriman, mereka tidak berapa selera menjamahnya sekalipun bahan masakan itu halal semua. Sebab itulah peniaga Cina mengambil tukang masak Melayu dan mengambil orang Melayu jadi pelayan. Malah ada yang was-was ayam yang dihidangkan disembelih atau tidak.
Mungkin kita anggap setengah orang Islam itu kolot tidak makan apa yang boleh dimakan. Tetapi orang putih yang terbuka juga tidak boleh dipaksa tekaknya makan durian. Presiden Obama semasa singgah di Malaysia menggalakkan rombangannya makan durian tapi dia dikatakan tidak lalu memakannya.
Sekarang bolehlah dua jenis coklat Cadbury itu pasarkan semula di mana-mana. Penggemarnya sudah boleh makan semula, tetapi tidak banyak yang dapat diharapkan mereka berselera untuk memakannya. Bagi penggemar setia itu ia tetap sedap. Tetapi kerana babi itu haram, mereka tidak boleh dengar kalimah babi disebut ketika makan. Nasi dan lauk yang dimasak sendiri tidak terdaya ditelan kerana mendengar orang menyebut babi ketika makan. Apa lagi apabila mereka hendak makan coklat yang pernah dikatakan mengandungi DNA babi. Semasa hendak menyuap ke mulut mereka teringat ia pernah dikata ada DNA babi lalu kembang tekak hendak menelannya.
Kita boleh nasihatkan sekarang tidak ragu lagi coklat itu halal. Makanlah! Tetapi tidak boleh hilangkan geli orang yang hendak memakannya. Dan bila orang ragu dengan lain-lain makanan yang Jakim halalkan, tiada apa dapat dibuat, melainkan persepsi Jakim terpaksa dipulihkan.
Pengorbanan diperlukan bagi memelihara Jakim dan melekangkan geli tekak semua orang.



Subky Abdul Latif/MI/12 Jun, 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/