Sponsor

Monday, June 9, 2014

RUU Lembaga Perumahan Dan Hartanah Johor 2014 - Ini Penjelasan Majlis Diraja Johor...


Majlis Diraja Johor menolak spekulasi Sultan Johor adalah pihak yang mula-mula mencadangkan rang undang-undang hartanah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Jun, 2014.
Sultan Johor bukan pihak bertanggungjawab terhadap cadangan Rang Undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 yang mencetuskan kontroversi dan kritikan kerana ia membenarkan pemerintah campur tangan dalam pentadbiran negeri, kata Majlis Diraja Johor, hari ini.
Presidennya, Datuk Abdul Rahim Ramli pada sidang akhbar berkata, sultan tidak campur tangan dalam hal ehwal kerajaan negeri dan rang undang-undang yang kemudiannya dipinda untuk mengurangkan kuasa sultan, ditulis oleh kerajaan. "Bukan Sultan (yang membuat rang undang-undang). Sultan tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri. Ia adalah hak kerajaan negeri untuk mencadangkan apa-apa undang-undang yang boleh memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Beliau menolak spekulasi sultan mencadangkan rang undang-undang itu, dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terpaksa mengikut kehendak sultan. Abdul Rahim menegaskan jika sultan mempunyai kepentingan dalam Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ), baginda tidak akan  "bermurah hati" bersetuju dengan pindaan rang undang-undang ini, yang dikeluarkan atau disekat kuasanya terhadap lembaga perumahan yang dicadangkan.
Semua pindaan yang dibuat hari ini, tidak lagi memberi sultan kuasa menentukan saraan atau elaun ahli lembaga. Kuasa sultan untuk mengarahkan penyiasatan buku, akaun dan transaksi lembaga dikeluarkan, dan baginda tidak lagi boleh mengarahkan lembaga digulung dan dibubarkan.
Lembaga itu tidak lagi perlu mengemukakan akaun kepada sultan, anggaran perbelanjaan tahun berikutnya atau laporan aktiviti pada tahun sebelumnya. Ia juga tidak memerlukan kelulusan sultan untuk menubuhkan perbadanan. Sebaliknya, semua kuasa yang terletak pada pihak berkuasa negeri.
Sultan hanya boleh melantik ahli lembaga atas nasihat menteri besar. Kelulusan sultan bagi pelantikan pengarah juga adalah atas nasihat menteri besar. Sultan atau menteri besar boleh membuat keputusan membatalkan pelantikan seseorang ahli, bertentangan dengan sultan yang mempunyai kuasa mutlak untuk berbuat demikian.
Pindaan dibuat berikutan bantahan awam atas kuasa pentadbiran diberikan kepada sultan. Pengkritik berkata ia melanggar Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, Abdul Rahman menafikannya  dengan mengatakan: "Peruntukan rang undang-undang tidak bertujuan menyerahkan kuasa mutlak kepada sultan dan oleh itu tidak boleh dianggap sebagai campur tangan istana dalam hal pengurusan negeri ini.” "Ia juga tidak melanggar konsep Raja Berperlembagaan."
Walaupun rang undang-undang pada asalnya memberi kuasa sultan, melantik ahli lembaga, Abdul Rahim menegaskan pemerintah terikat dengan Perlembagaan dan kebiasaan untuk bertindak atas nasihat pihak tertentu.
Beliau menyamakan dengan kuasa sultan melantik menteri besar yang juga dilakukan selepas berunding dengan pihak-pihak tertentu. "Walaupun pemerintah boleh pada budi bicaranya melantik seorang menteri besar dari kalangan ahli dewan undangan ... pelantikan itu biasanya dibuat selepas berunding dan nasihat daripada parti." – MI/9 Jun, 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/