Kuala Terengganu: Empat beradik
menyambut Aidilfitri tanpa belaian ibu tersayang tahun ini apabila wanita
berkenaan maut dalam kemalangan di Kilometer 21.5 Jalan Kuala
Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Kelulut, di sini, jam 9 malam kelmarin.
Lebih memilukan apabila bapa kanak-kanak terbabit,
Badrulhisham Bakar, 38, yang tidak mengetahui isterinya, Zuraiha Zainal Abidin,
34, meninggal dunia di tempat kejadian asyik bertanyakan keadaan wanita
terbabit ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini
bersama empat anaknya yang turut mengalami kecederaan ringan.
Kemalangan
membabitkan dua kereta termasuk milik kerabat Istana Terengganu, Tengku
Nasruddin Tengku Mahmud, 41, dan sebuah motosikal itu turut meragut nyawa
penunggang motosikal terbabit seorang lelaki Vietnam dikenali sebagai Le Ngoc
Toan berusia 30 tahun.
Ibu
saudara Zuraiha, Rosmaliza Kadir, 41, berkata, Badrulhisham dikatakan patah
kaki kiri dan Muhammad Adam Muamzar, 6, cedera di kepala manakala tiga lagi
anak mereka Muhammad Adam Wazif, 8, Nur Nia Dzaira, 4 dan Qaseh Eva Qaizara, 2,
cedera ringan.
“Badrulhisham berkali-kali
bertanyakan kepada saya keadaan isterinya dan saya tidak sampai hati
memberitahu kejadian sebenar kerana masih kebingungan serta trauma dengan apa
yang terjadi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, di sini, malam
kelmarin.
Rosmaliza yang tinggal di Putera Jaya, Setiu berkata, dia dan suami, Aziz
Yahya, 39, mengetahui kejadian menimpa anak saudaranya selepas menerima
panggilan telefon daripada adiknya yang tinggal di Kuala Lumpur.
Menurutnya, ketika kejadian arwah yang tinggal di Pasir Mas, Kelantan dalam
perjalanan ke rumah iparnya di Kampung Santong, Paka, Dungun dengan menaiki
Proton Iswara dipandu suami bersama empat anaknya.“Arwah bertolak dari Pasir Mas jam 3 petang dan berbuka puasa bersama keluarga
di Pantai Batu Buruk sebelum meneruskan perjalanan ke Paka,” katanya.Katanya, kali terakhir dia menemui arwah pada awal Jun lalu ketika pulang ke
rumah keluarga di Kampung Durian Hijau, Kok Lanas, Kota Bharu.-Metro 10 Julai 2014
0 comments:
Post a Comment