Sponsor

Tuesday, July 8, 2014

Jenazah Muhamad Hafiz Di Kebumikan,..Ibu Sebak Mengenangkan Nasib Yang Menimpa Diri..!..

Melaka: “Biarlah dia menerima hukuman berat sebagai pengajaran kepadanya. Oleh itu, saya bersyukur dia ditahan dan mahu dia memikul tanggungjawab atas apa yang dilakukan terhadap anak kami,”
Begitu kata Siti Habibah Ismail, 38, ibu kepada Muhamad Hafiz Abd Ghani, 17, selepas mengetahui suaminya berusia 52 tahun itu ditahan polis di Kampung Padang, jam 2.30 pagi semalam. 
Dalam kejadian di Kampung Jawa, Alor Gajah, Sabtu lalu, Hafiz mati dibelasah bapanya dengan kayu kerana menyuara hasrat mahu bekerja bagi membantu keluarga selepas melihat sembilan adik-beradiknya berbuka puasa hanya dengan semangkuk bubur, pisang goreng dan air kosong. 
Ibu kepada 10 cahaya mata itu berkata, dia tidak menyangka Hafiz yang baru tinggal bersama mereka tahun lalu meninggal dunia akibat perbuatan suaminya sendiri.“Saya cuba membantu dia, tetapi tidak berdaya kerana suami memberi amaran supaya tidak menyentuh Hafiz. Saya tidak sampai hati melihatnya dipukul lalu saya masuk ke dapur dan hanya mampu menangis.
Jenazah Muhamad Hafiz Selamat di kebumikan..
Klang: Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Abd Ghani, 17, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 4, di sini jam 6.30 petang semalam.
Jenazah yang dibawa dari Hospital Melaka tiba di Surau Haji Umar, Jalan Genting, di sini untuk disembahyangkan.
Saudara mangsa, Azhar Muhamad, 44, berkata, kira-kira 300 orang terdiri daripada keluarga dan rakan arwah menghadiri solat jenazah itu dan hampir 100 orang hadir bagi proses pengebumian.
Katanya, dia turut membantu keluarga arwah menguruskan jenazahnya dari Hospital Melaka hingga ke tanah perkuburan. "Keluarga arwah adalah orang susah, hanya arwah yang ada sijil surat beranak itupun disebabkan arwah berada di bawah jagaan saya selama ini.
"Dalam tempoh seminggu ini, semua ahli keluarga arwah akan pulang semula ke Melaka untuk membantu polis menjalankan siasatan terhadap bapa mereka yang terbabit memukul arwah hingga mati," katanya selepas pengebumian jenazah Hafiz di Tanah Perkuburan Islam Batu 4, di sini, semalam.
Azhar berkata, pemergian arwah memberi kesan kepadanya kerana sebelum ini arwah berada di bawah jagaannya sejak berusia lima hari.
Katanya, dia diberi tanggungjawab menjaga arwah kerana mewarisi rumah pusaka oleh ibunya. "Sesiapa yang tinggal di rumah pusaka ini, dia dipertanggungjawabkan untuk menjaga ahli keluarga yang susah dan apabila saya yang mewarisi rumah ini, tanggungjawab itu diberikan kepada saya. "Saya rela menjaga Hafiz kerana arwah juga mempunyai talian darah dengan saya kerana bapanya adalah sepupu kepada ibu saya,” katanya.-Sumber/Metro

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/