Ketua Unit Operasi Jaip, Mohd Anis Mohd Azmi berkata, Jaip turut mengambil keterangan dan merekodkan maklumat peribadi 19 lelaki dan 13 wanita dalam serbuan jam 3 pagi itu tetapi tidak menahan mereka.
Menurutnya, serbuan dibuat atas aduan awam yang mengesyaki berlaku penyelewengan agama di kediaman tersebut dan dibuat selepas beberapa bulan risikan membabitkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan. “Apabila pemeriksaan dibuat di dalam rumah, seramai 19 lelaki dewasa dan 13 wanita dewasa, tiga kanak-kanak dan satu bayi berada di ruang tamu rumah teres dua tingkat itu.
“Mereka dipercayai sedang beribadat mengikut fahaman yang bertentangan dengan ahli sunnah iaitu fahaman yang berlainan dengan ditetapkan Jabatan Mufti Pahang, dengan maksud lain mereka melanggar atau menyalahi fatwa dikeluarkan Jabatan Mufti. “Siasatan mendapati mereka mengaku mengamalkan Syiah Bohra, namun pihak Jaip terpaksa mengambil keterangan mereka dan merampas buku-buku zikir yang digunakan untuk dianalisis,” katanya, semalam.
Mohd Anis memberitahu, siasatan awal ke atas pemilik rumah dan individu yang berada dalam premis tersebut mengesahkan bahawa mereka berasal dari India selain mengakui mengamalkan fahaman Syiah Bohra sejak turun temurun lagi. Beliau berkata, pemilik rumah tersebut juga mengakui mengamalkan Syiah Bohra tetapi tidak berdakwah dan hanya mengamalkannya dalam kalangan saudara mara terdekat.
Sinar Harian yang mengikuti operasi itu semalam turut diperkenalkan dengan sanak saudara pemilik rumah dan kebanyakan mereka adalah ahli perniagaan dan golongan profesional. Mohd Anis berkata, mereka hadir ke kediaman itu untuk beribadat dan dipercayai berzikir kerana percaya malam tersebut adalah malam 'Lailatul Qadar' bersempena dengan pembunuhan Saidina Ali pada 21 Ramadan.
Katanya, Jaip akan memanggil semua yang berada di dalam rumah tersebut supaya tampil ke Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) pada 23 Julai ini untuk memberikan keterangan.
Beliau berkata, siasatan dilakukan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Seksyen 15 iaitu menyalahi fatwa, Seksyen 17 memiliki dokumen yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Seksyen 18 memiliki buku, majalah dan lain-lain di dalam kawalan dan simpanan.
Menurutnya, jika sabit kesalahan ketiga-tiga seksyen itu memperuntukkan hukuman yang sama iaitu boleh dikenakan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.-SH 21 Jul 2014
0 comments:
Post a Comment