KUALA LUMPUR - Seorang duda
memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini beliau mencabul seorang
pelajar perempuan kerana dia terlalu cantik. Sebelum
menjatuhkan hukuman atas tuduhan mencabul, Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan
bertanya kepada tertuduh mengapa dia memegang mangsa, tertuduh menjawab dalam
Bahasa Mandarin, "Gadis itu terlalu cantik".
Duda seorang
anak itu dihukum penjara empat bulan selepas mengaku bersalah mencabul pelajar
itu, ketika duda itu menjaga isterinya yang koma di sebuah hospital.
Majistret
menjatuhkan hukuman itu ke atas Lim Loon Cheng, 53, seorang tukang cat dan
memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap, 11
Jun lepas.
Loon Cheng
didakwa mencengkam kedua-dua belah lengan gadis berusia 19 tahun itu dan
berkata, "I love you" dengan maksud hendak mencabul
kehormatannya di dalam sebuah wad, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),
Brickfields, di sini, pukul 10.10 malam, 10 Jun lepas.
Bapa kepada
anak berusia 12 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat
atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mengikut fakta
kes, tertuduh yang sedang menjaga isterinya yang separa koma di wad tersebut
meminta mangsa yang sedang menjaga neneknya yang sakit di katil
hadapan, menutup suis lampu di tempat duduk tertuduh.
Semasa mangsa
menutup lampu, tertuduh memegang kedua-dua lengan gadis itu sebelum gadis itu
menolak tertuduh dengan kuat dan lari dari bilik wad tersebut.
Tertuduh tidak
diwakili peguam. - Bernama
0 comments:
Post a Comment