Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang
hari ini mengarahkan kesemua 1,083 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK) dari parti itu di negeri ini meletakkan jawatan
berkuatkuasa serta-merta.Pesuruhjaya
PAS negeri Muhammad Fauzi Yusof berkata surat arahan meletakkan jawatan dan
menamatkan perkhidmatan sebagai anggota JKKK itu akan diedarkan dalam tempoh
terdekat dan semua anggota terlibat diminta untuk mematuhi arahan itu."Kami
mengambil keputusan untuk memberhentikan kesemua ahli-ahli PAS yang berkhidmat
di dalam JKKK dalam semua kuota, kuota DAP, kuota PKR mahupun kuota campuran.
Semua kita akan berhentikan.
"Kita tak
izinkan mereka (kerajaan negeri) mengambil ahli-ahli kita untuk dimasukkan
dalam senarai JKKK. Kita tidak mahu ahli JKKK PAS di negeri ini terus
dimanipulasikan termasuk bagi memenuhi kuota JKKK di kawasan PKR dan DAP,"
katanya pada sidang media di Markas PAS Pongsu Seribu, di kepala Batas hari
ini.
Beliau berkata
keputusan itu dibuat selepas kerajaan DAP Pulau Pinang banyak menyinggung
perasaan umat Islam termasuk isu hukum hudud, pemecatan anggota pihak berkuasa
tempatan dari PAS dan isu pemberian dana sekolah agama rakyat di negeri ini.
"Keputusan
ini dipersetujui oleh majoriti anggota JKKK PAS di negeri ini selepas
mengadakan dua pertemuan dengan mereka. Kebanyakan mereka mahu dan bersedia
untuk meletakkan jawatan. Jadi, dengan sidang media ini tidak jadi keberatan
untuk mereka meneruskan niat itu," katanya.
Muhammad Fauzi
turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri memecat 300 anggota JKKK dari PAS
di Kepala Batas dan mendakwa maklumat berkenaan adalah tidak tepat."Mengapa
hanya pecat 300 orang sahaja. Adakah yang dipecat itu hanya dalam kuota PAS
sahaja sedangkan ahli-ahli PAS yang berkhidmat dalam JKKK ini berada dalam
kuota DAP, PKR dan kuota campuran. Jadi kenapa pecat 300 orang.
"Hasil
daripada pemecatan tersebut kita dapati bahawa JKKK daripada kalangan ahli PAS
itu ada yang tidak menerima notis pemecatan. Hanya beberapa orang sahaja yang
menerima notis pemecatan. Jadi mana 300 orang yang didakwa dipecat.
"Kemudian
ada yang mendapat notis pemecatan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri yang
bertarikh 11 Nov 2015 dan kenyataan (Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid
Hasnon) kata notis pemecatan berkuatkuasa pada 15 Nov 2015. Tapi keputusan
mesyuarat kerajaan negeri pula kata berkuatkuasa pada 4 Nov 2015, dari segi
tarikh pun kerajaan negeri buat pembohongan," katanya.
Mengulas
mengenai status wakil tunggal PAS Datuk Mohd Salleh Man dalam kerajaan negeri
berikutan pengisytiharan parti itu sebagai pembangkang di negeri ini, Muhammad
Fauzi berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Anggota Dewan Undangan
Negeri Permatang Pasir itu dalam masa terdekat.
Bagaimanapun,
beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada PAS pusat untuk membuat keputusan
berhubung status Salleh Man."Saya
sudah menghubungi beliau dan meminta untuk menetapkan satu tarikh pertemuan.
Kita akan menasihati beliau mengikut etika dan adab di dalam parti,"katanya.
Beliau berkata
sebagai seorang anggota PAS Salleh Man seharusnya istiqamah dalam perjuangan
PAS dan mengingati lafaz bai'ah yang dibuat ketika mula-mula menjadi anggota
parti itu.
-Bernama
0 comments:
Post a Comment