Sponsor

Tuesday, April 29, 2014

Hudud – UMNO Sokong Hudud, MCA Mula Gelabah…?..

MCA digesa supaya menyatakan pendirian tegas mengenai pelaksanaan hudud selepas Umno secara terbuka menyokong hasrat PAS membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian di Parlimen untuk membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.
Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok (gambar) berkata, Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai perlu jelaskan pendirian sebenar MCA dan keputusan yang akan diambil ekoran kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan pusat tidak pernah menolak pelaksanaan hudud.
"Kebisuan MCA bukan hanya sebab mereka tidak pernah ada keberanian untuk bersemuka dengan Umno malah takut hilang peluang menyertai semula Kabinet," kata Teresa dalam kenyataannya hari ini.
Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, ramai pemimpin MCA sejak kebelakangan ini memberi respons mengenai usaha PAS melaksanakan hudud dengan menyerang DAP. Namun katanya, serangan mereka terhadap DAP lebih bersifat tipu dan fitnah kerana kedudukan DAP dalam persoalan hudud sejak dulu amat jelas dan konsisten bahawa hudud melanggar prinsip Perlembagaan dan tidak sesuai bagi masyarakat majmuk di Malaysia. "DAP parti berprinsip dan berpegang pada kata-kata, tidak seperti MCA yang hanya menjadi parti sesumpah untuk kelangsungan politik," katanya.
Katanya, MCA  mungkin mudah lupa mereka pernah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad semasa deklarasi September 2001 bahawa Malaysia adalah negara Islam, dan rakyat sama sekali tidak akan lupa tentang sejarah MCA sudah “dibeli”. Berbeza dengan DAP menurut Teresa secara lantang menentang deklarasi Mahathir dan menyatakan pendirian jelas yang DAP tidak menyokong mana-mana konsep pembentukan negara Islam, sama ada ala PAS atau Umno.
"MCA perlu segera hentikan kenyataan tidak berasas terhadap DAP untuk mengalihkan tumpuan rakyat terhadap kegagalan parti itu menyatakan respons terhadap kenyataan Najib," katanya.
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno minggu lalu memutuskan untuk menyokong pandangan Najib dan menunggu masa untuk mengadakan muzakarah (perbincangan) dengan PAS terlebih dahulu sebelum memutuskan bagi melaksanakan hukum berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu dilaporkan berjumpa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediaman bekas menteri besar Kelantan itu di Kota Bharu, dipercayai mengadakan perbincangan lanjut mengenai hudud.
MI/29 April, 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/