Sponsor

Sunday, April 27, 2014

Di Sebalik ‘Karpet Merah’ Menyambut Obama, Terselit ‘Gundah Gulana’ Di Hati Rakyat Malaysia…?..

Akhirnya, selepas 48 tahun, Presiden Amerika Syarikat (AS) menjejakkan kaki ke bumi Malaysia. Kedatangan Barack Obama, pemimpin kuasa besar dunia itu ke Malaysia disambut meriah, sama seperti kedatangan pemimpin negara lain. Kemeriahan itu terzahir semasa beliau disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet serta pemimpin lain di Dataran Parlimen, semalam.
Obama juga seperti biasa tersenyum lebar sepanjang masa, tidak menampakkan kepenatan beliau selepas lawatan tanpa henti ke Jepun dan Korea Selatan sebelum ke sini dan seterusnya akan ke Filipina. Namun kemeriahan itu tidak bermakna tiada kegusaran terpendam dalam hati.


Bukan sahaja rakyat Malaysia, tetapi pemimpin dan bekas pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamed juga ada sedikit kebimbangan mengenai tujuan tersirat lawatan Obama ke negara kita.

Pastinya kebimbangan utama berkisar kepada rundingan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang berlangsung kini.

Kedatangan Obama dikhuatiri memberi tekanan kepada Najib dan kerajaannya untuk bersetuju dengan perjanjian yang dianggap ramai sebagai berat sebelah itu.
Penasihat Keselamatan Nasional AS, Susan Rice semasa mengumumkan lawatan Obama ke rantau ini berkata, lawatan ke Malaysia dan Jepun, dua negara anggota TPP akan memberi peluang kepada Obama untuk terus menggerakkan perjanjian itu. Ini pastinya menambah keresahan kumpulan penentang TPP yang terdiri daripada badan bukan kerajaan, ahli politik dan bekas pemimpin yang sudah bersuara mengaitkan kedatangan Obama dengan TPP.

AS telah lama mengakui TPP akan membantu menaikkan ekonomi negara itu dan menghasilkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Tentu sekali AS mahukan yang terbaik untuk negara mereka. Tetapi bagaimana dengan Malaysia? Adakah Malaysia akan mendapat manfaat daripada TPP sama seperti AS?

Malaysia seolah-olah diberi perhatian istimewa oleh pentadbiran Obama, dengan negara ini tahun lalu dipilih menjadi tuan rumah pertama di Asia Pasifik bagi Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Kali Ke-4, iaitu inisiatif yang dicetuskan Obama sendiri. Pentadbiran Obama kini berusaha menambat hati negara Asia Pasifik sehingga dasar luarnya diubah untuk memfokus kepada rantau ini.

Walaupun diakui dasar Malaysia yang berbaik-baik dengan semua pihak memberi manfaat kepada negara, perlu juga diingat kata-kata Perdana Menteri Britain pada kurun ke-19, Henry John Temple bahawa sesebuah negara tidak mempunyai kawan tetap atau musuh tetap, ia hanya mempunyai kepentingan tetap.
Dengan kekuatan China, negara kuasa besar Asia yang semakin hari semakin menyengat, AS dilihat terdesak untuk mencari sahabat di rantau ini, dan lawatan kelima Obama ke Asia Pasifik ini mungkin antara petandanya. Di sebalik kemeriahan sambutan kedatangan beliau, di sebalik senyuman tidak putus-putus yang meniti di bibir Obama, banyak hati yang gundah, mungkin termasuk Obama sendiri.
SH/27 April 2014

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/