Sponsor

Monday, April 21, 2014

'Persona Non Grata' - Rafizi Ramli ‘Di Usir’ Lagi Dari Memasuki Sarawak…

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar) dihalang memasuki Sarawak petang ini, sekali gus  menjadikan sekatan kedua pihak berkuasa negeri itu terhadapnya.
Perkara itu disahkan sendiri oleh ahli Parlimen Pandan itu melalui entrinya di Twitter milik beliau @rafiziramli sebentar tadi. "Saya diusir dari Sarawak lagi. Saya kini dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur," katanya yang dipetik melalui laman Twitternya.
Antara lain, Rafizi dalam entri itu menyifatkan pengusirannya memasuki Sarawak buat kali kedua itu bertujuan menghalang beliau daripada membantu PKR Sarawak dalam menghadapi pilihan raya negeri itu. "Amat jelas sekatan itu bermaksud untuk menghentikan kami daripada menolong PKR Sarawak bagi pilihan raya," katanya
Kali pertama pemimpin PKR itu disekat memasuki Sarawak ialah pada 25 Mac lalu bersama Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengulas mengenai hal sekatan ke atas tiga pemimpin tersebut berkata kerajaan negeri Sawarak tidak melanggar sebarang peruntukan undang-undang. Katanya ia selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada kerajaan negeri menerusi Perjanjian Malaysia 1963. "Semua pihak sudah sedia maklum mengenai Perjanjian Malaysia 1963. Kerajaan negeri diberi hak menguruskan hal ehwal imigresen. "Kerana itu mereka mempunyai hak menghalang mana-mana pihak yang dianggap memecah-belahkan perpaduan," katanya.
Rafizi sempat menulis entri di laman Twitter sebelum penerbangannya ke Sarawak. "Kini dalam pesawat untuk penerbangan ke Kuching. Mari lihat sama ada saya boleh masuk atau tidak. "Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam surat mereka tetap menyatakan menyatakan saya orang persona non grata (yang tidak dialu-alukan)," katanya. Bagaimanapun, Rafizi tidak menyatakan tujuan kedatangannya ke Sarawak.
MI/21 April, 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/