Sponsor

Sunday, February 16, 2014

Rakyat Selangor Masih Mahukan Tan Sri Khalid Ibrahim Sebagai Menteri Besar....

Kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor perlu dikekalkan memandangkan beliau berjaya mengurus tadbir Selangor dengan baik, kata Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan. Beliau berpendapat, sepanjang Abdul Khalid mentadbir Selangor, beliau berjaya membawa masuk banyak pelaburan dari dalam dan luar negara serta pembangunan di negeri itu berjalan dengan baik.

“Sejak memegang jawatan menteri besar, Abdul Khalid tidak pernah mempunyai masalah dan banyak isu besar dapat ditangani dengan baik. “Bukan itu sahaja, rakyat juga tidak mempunyai banyak masalah sepanjang pentadbiran beliau kerana beliau dapat menjiwai peranannya begitu cemerlang walaupun latar belakang beliau seorang usahawan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, jika mengikut formal pentadbiran, tidak boleh berlaku (penyingkiran) ini kerana rakan-rakan dalam PR iaitu Pas atau DAP tidak ada sebarang masalah dengan beliau. “Berdasarkan pencapaian beliau, tidak adil terhadap dirinya untuk dijadikan korban demi menyelesaikan masalah dalaman PKR. “PKR harus sedar, jawatan menteri besar bukan hak mereka kerana Pas dan DAP juga mempunyai kuasa untuk menentukannya,” katanya.

Dr Azmi berkata, tugas Abdul Khalid sudah cukup cemerlang dan kerana itu tidak sepatutnya beliau ditukar. “Sepanjang berkhidmat, beliau dilihat begitu disenangi rakyat Selangor dan hubungan itu dijaga dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan, Prof Dr Abu Hassan Hasbullah berpendapat, rakyat Selangor masih memerlukan khidmat Abdul Khalid sebagai menteri besar. “Beliau sudah membuktikan kepimpinannya masih boleh dipercayai dan tidak wujud sebarang krisis antara Abdul Khalid dengan mana-mana pihak.
“Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pada PRK Dun Kajang, pada masa sama prestasi Abdul Khalid masih pada tahap yang membanggakan, jadi tidak timbul kedudukan beliau perlu diubah kepada orang lain,” katanya. Beliau berkata, secara teknikal, Selangor perlu kekal di bawah pentadbiran Abdul Khalid.
“Banyak faktor yang membolehkan kedudukan Abdul Khalid kekal iaitu penerimaan beliau dalam kalangan ahli parti dan parti-parti di bawah PR. “Beliau diterima dengan baik dan beliau tidak perlu diganti dengan orang lain,” katanya.


Sumber SH/16 Feb 2014

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/