Sponsor

Monday, February 10, 2014

Kejatuhan Harga Getah - Penduduk Rayu Perhatian Kerajaan.....

Foto ihsan dari rakan Facebook 
"Kami dah tak tahan"...Inilah diantara rungutan yang diluahkan oleh penduduk sekitar Baling dalam satu demontrasi aman bagi mendesak kerajaan campurtangan dalam membantu penoreh getah menghadapi kejatuhan harga getah. Perhimpunan aman yang berlangsung di simpang tiga Kejai turut mendapat sambutan ramai yang datang dari kampong berdekatan. Turut sama memberi sokongan dalam himpunan tersebut adalah Tuan Haji Md Zuki Yusuf, ADUN Kuala Ketil.



Foto ihsan dari rakan Facebook 
Sinar Harian/10 Feb 2014
BALING - “Kami dah tak tahan, harga getah merudum teruk, tambahan pula dengan musim kemarau, memang tertekan,” luah Asyaari Abdul Rahman, 67, salah seorang penoreh getah yang mengusahakan tanaman itu sejak berusia 15 tahun. Asyaari dari Kampung Kuala Samak merupakan salah seorang dari ratusan penoreh yang berhimpun secara aman bagi meluahkan perasaan mereka berikutan kejatuhan harga getah.

Perhimpunan aman itu berlangsung di Simpang Tiga Kejai dan turut dihadiri beberapa pemimpin setempat termasuk Adun Kuala Ketil, Md Zuki Yusof. Asyaari turut pernah terlibat dalam perhimpunan mogok lapar semasa kejatuhan harga getah pada 1974 sehingga mendapat campur tangan kerajaan.
Menurutnya, walaupun harga getah pada masa itu rendah, barang keperluan masih lagi murah berbanding sekarang. “Dulu harga getah 30 sen, tetapi barang keperluan murah. Sekarang, harga gula dan ikan lagi tinggi dari harga getah sekerap,” katanya.
Kesemua penoreh meluahkan perasaan sama berikutan kejatuhan harga getah sehingga paras RM2.40 dan tempoh penurunan itu antara paling cepat dalam tempoh tiga minggu. 
Seorang lagi penoreh, Azlan Hussin, 36, dari Kuala Pegang turut tertekan dengan keadaan itu, tambahan pula tiga anaknya masih lagi bersekolah. Menurutnya, minimum jumlah getah diperoleh setiap hari adalah 20 kilogram bersamaan kira-kira RM48 sehari.
“Itu belum bahagi dua kepada tuan tanah, dalam sehari dapatlah RM24. Itu pun belum tentu setiap hari, kadang-kadang hujan. Tambahan pula sekarang musim kemarau, hasil getah tak berapa banyak. “Dengan wang itulah saya berjimat untuk beli barang keperluan harian termasuk keperluan sekolah anak,” katanya.
Menurutnya, penoreh getah juga perlu mendapat perhatian tambahan lebih dari 50 peratus penduduk di Baling mengusahakan tanaman getah. “Memang punca pencarian kami hanyalah dengan menoreh. Kalau pokok sendiri, dapat la banyak hasil, bagi macam saya (bahagi dua), jumlah hasil tidak seberapa,” katanya.

Foto ihsan dari rakan Facebook 

Foto ihsan dari rakan Facebook 
Perhimpunan secara aman itu hanya menekankan beberapa perkara iaitu inginkan campur tangan kerajaan untuk menangani masalah ini. Penduduk, Abdul Rahman Saad, 69, dari Kuala Ketil amat berharap agar rintihan dan penderitaan penoreh getah di seluruh negara mendapat perhatian dari pihak kerajaan. “Penoreh dalam keadaan tertekan, mereka inginkan bantuan dan perhatian. Setakat ini, tiada siapa yang ingin membela nasib penoreh,” kata bekas pesara guru itu....

Berita dari pelbagai sumber...Sila rujuk lain-lain sumber untuk ketepatan maklumat.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/