Sponsor

Sunday, February 9, 2014

'Mencari Yang Lebih Selesa', Permulaan nya Bagaimana..?..Akhirnya Kemana..?..

YANG TERSIRAT DI PRK DUN KAJANG.....
PERBAHASAAN luaran banyak yang dikaitkan dengan Pilihan Raya Kecil di Dun Kajang. Ada yang menimbulkan kenapa YB sedia ada letak jawatan tanpa sebab musabah seperti sakit. Ada yang menimbulkan perkiraan kos yang mesti ditanggung pembayar cukai demi memenuhi kehendak mereka yang berkepentingan. Ada pula yang mempersoalkan agenda Anwar Ibrahim mahu menjadi Menteri Besar sebagai batu loncatan ke jawatan Perdana Menteri.

Memulakan analisis kita dengan persoalan-persoalan seperti ini sebagai asas kepada insiden PRK Kajang akan membuat kita menyimpang dari permasalahan sebenarnya. Kita perlu kembali ke pangkal jalan berdasar ilmunya. Dalam ilmu sains politik, persoalan politik ini dibahas di bawah konsep literasi politik. Literasi politik mempunyai dua dimensi utama; 1. Aspek idea tentang politik dan 2. Aspek 'institution' tentang politik. Aspek idea tentang politik dikaitkan dengan wacana pengagihan kuasa, keadilan, toleransi, pemdemokrasian manakala aspek institution dikaitkan dengan struktur kerajaan, parti politik, Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Keselamatan dan sebagainya. Berdasarkan kerangka ilmu literasi politik ini, PRK Kajang lebih bersifat 'institusional' daripada aspek idea dalam berpolitik.

Apabila PKR yang mencetuskan PRK Kajang terpaksa dijalankan walhal PRU13 baru selesai lapan bulan yang lepas dan penyandang YBnya tidak sakit, maka fokus penjelasan perlu bermula dengan parti itu sendiri. Pelbagai tafsiran dilontar tentang PKR dan kepimpinannya di Selangor; MB lemah, MB perlu ditukar, pertikaian Khalid-Azmin dan sebagainya. Pelbagai tafsiran ini menunjukkan parti politik itu berhadapan dengan krisis dalaman dan pucuk kepimpinannya telah hilang kawalan ke atas barisan kepimpinan partinya. Perlu diingatkan politiking kepartian ini berlaku setelah PKR berjaya mempertahankan kuasa mereka di Selangor bagi kali kedua.

Ini menunjukkan kemenangan berganda ini tidak memberi makna kepada pengukuhan pucuk pimpinan dan PKR. Pucuk kepimpinan didapati memiliki kuasa dan pengaruh yang terbatas ke atas rantaian kepimpinannya. Rantaian kepimpinan ini boleh bertindak tidak seiringan dengan kehendak pucuk pimpinan parti. Pandangan dan arahan yang diberikan tidak begitu memiliki makna dan pengaruh ke atas budaya dan amalan politik di dalam parti itu. Ini menunjukkan kuasa dan pengaruh pucuk kepimpinan itu sudah mula dicabar. Kuasa wawasan minda yang ada pada pemimpin itu sudah mula tidak disenangi oleh rakan kepimpinannya. Laungan keadilan, ketelusan dan kebertanggungjawab yang menjadi slogan keramat PKR sudah dilunturkan oleh pelanggaran yang dilakukan oleh kepimpinan parti terhadap cita-cita murni parti. Akhir-akhir PKR telah berubah di mana kepimpinan parti sudah dikeluargakan dengan isteri dan anaknya, keputusan diamalkan lebih bersifat autokratik dan bukan lagi demokratik dan wawasan mindanya pucuk kepimpinannya sudah tergelincir dari aspirasi dan harapan pengikut-pengikutnya. Cita murni parti sudah bertukar kepada kepentingan peribadi: apa yang dilaungkan adalah Putrajaya, PM dan MB semata-mata.

Kehilangan kuasa wawasan minda ke atas rantaian partinya telah memaksa pucuk kepimpinan parti untuk bergantung dengan kuasa material sedia ada dalam institutional politik. Keputusan Anwar bertanding di Dun Kajang, mememangkan  PRK, menjadi YB di negeri Selangor dan menjadi Exco atau MBnya dijangka akan meredakan konflik dalaman dan memulih kembali caturan perjalanan kerajaan negeri seperti yang diidamkan PR.

Lagi pun pengalaman Pas di Kedah telah mengajar PR bahawa kegagalan memimpin negeri dengan baik boleh menyebabkan PKR berkemungkinan hilang undi dalam PRU14 di Selangor nanti. Pengalaman Anwar sebagai YB Parlimen Permatang Pauh juga telah menunjukkan keberadaan beliau di Pulau Pinang tidak memberi makna kepada kepimpinan dan partinya. Kedua-dua Timbalan Ketua Menteri PKR hilang taring dan kuku apabila berhadapan dengan KM Pulau Pinang. Orang kanannya yang diberi jawatan kepimpinan negeri tidak mendapat tempat di mata Lim Guan Eng.

Keresahan politik yang diperhatikan sedang melanda kepimpinan dan PKR di Selangor. Krisis politik ini memaparkan kedudukan mereka adalah lemah walaupun menang dalam PRU13. Perasaan kelemahan politik dalam PKR ini lahir dari tekanan Umno Selangor yang diperhatikan telah memiliki suara politik baru di bawah kepimpinan Noh Omar. Kepimpinan Umno sudah mula membina keterikatan politik di kalangan ahli-ahli mereka di Selangor. Kegiatan Umno negeri dan kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan PM semakin diterima rakyat di Selangor. Tetapi PR dan PKR lebih mengamalkan budaya hubungan politik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan yang condong ke arah politik konfrantasi. Isu PKNS, isu air, isu GiatMara, kampus baru UiTM dan sebagainya mencelarukan masyarakat tanpa penyelesaian. Tadbir urus negeri semakin bercelaru. Pemerintahan kerajaan PR didapati gagal memenuhi keperluan dan kehendak rakyat. Rakyat yang sengsara dari politik kontestasi PKR  dan PR dengan kerajaan Persekutuan ini.

Persoalannya sejauh manakah tepatnya BN dan Umno mentafsir fenomena PRK Kajang ini?  Jika PRK Kajang hanya dijadikan modal untuk mengutuk kepimpinan dan PKR, maka rakyat tidak mungkin akan nampak perubahan yang sedang melanda Umno di Selangor pada hari ini. Umno perlu terus memperkemaskan barisan kepimpinannya, tingkatkan kegiatan dan khidmatnya kepada rakyat di Selangor. Rasuah, penyelewengan kuasa dan bermain dengan politik nepostime perlu dikawal dan mereka yang terjerat dalam politik kebendaan ini perlu segera dibawa ke muka keadilan.

Kelompok pengundi dalam PRU14 dijangka akan terdiri sebanyak 40 peratus dari golongan muda. Kelompok era kemerdekaan dan veteran semakin mengecil, budaya dan amalan politik perlu berubah dengan masa dan budaya pengundi terkini. Generasi pada hari ini mahu suara, sumbangan dan penglibatan mereka diperakui oleh mana-mana parti politik yang memegang tampuk kuasa negeri dan negara.

Hanya kepimpinan dan parti politik yang demokratik, berketerangkuman dan adil akan berada di mata dan hati pengundi generasi pada hari ini. Pemimpin yan ditagih adalah mereka yang mempunyai kuasa wawasan minda dan bukan yang memanipulasi material dan institusional untuk kepentingan peribadi; rakyat dan negara perlu dijadikan asas perjuangan parti.


Prof Dr Mansor Mohd Noor
Felo Utama
Institut Kajian Etnik (KITA)
Universiti Kebangsaan Malaysia

07 Februari 2014/Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/