TIAP
kali kedengaran azan Maghrib yang merdu berkumandang, hatinya jadi tenang. Segala perasaan celaru akibat tekanan
kerja dan masalah lain entah bagaimana bertukar menjadi selesa. Itu yang
dirasai Lucy Embang selama tiga tahun lamanya, sekalipun ketika itu
beliau belum memeluk Islam. Ia antara faktor yang menggamit anak kelahiran
Bintulu, Sarawak itu memeluk Islam apabila melafaz kalimah dua syahadah di
Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Lucy berbuat demikian dengan
dipimpin Pegawai Pemudahcara dan Perhubungan dari Islamic Outreach ABIM (IOA),
Khalid Abdul Samad dengan disaksikan ratusan jemaah seusai solat Jumaat. IOA
ialah pertubuhan dakwah menerusi pelbagai program ilmu kepada masyarakat bukan
Islam bagi meningkatkan kesedaran dan minat terhadap Islam.
Dan
saat melafaz kalimah itu, perasaan diselubungi terharu yang mendalam apatah
lagi kemasukannya dalam Islam disambut ratusan jemaah masjid sedangkan beliau
hanya ‘insan biasa’. “Sedih, terharu. Saya tak pernah rasa sebelum ini. Kita
tahu kehadiran kita di sekeliling mereka walaupun tak kenal tapi mereka beri
sokongan dan sambutan dan sokongan pada kita,” katanya kepada Selangor Kini. Lucy atau
nama Islamnya, Nurul Iman Jannah Abdullah tidak ditemani ahli
keluarga sebaliknya hadir bersama keluarga angkat dan rakan-rakan karibnya
sewaktu peristiwa bersejarah di dalam hidupnya itu.
Pun
begitu, keluarganya yang masih Kristian tidak menyatakan bantahan keras
terhadapnya, sekadar memberi peringatan terhadap langkahnya itu. Nurul Iman
pula – sekalipun sudah memeluk Islam tekad akan taat kepada ibu bapanya
walaupun berlainan pegangan.
“Saya
akan hormati mereka. Mereka tetap ibu bapa saya,” katanya yang mengakui
keluarganya bukan pengamal Kristian yang kuat dan ia mungkin mendorongnya
tercari-cari jalan yang satu. “Di Sarawak, ada beragama Kristian, ada pengamal
ajaran berunsur spiritual. Pesta Keamatan pun saya sambut, Hari Krismas pun
saya sambut. Sekarang saya mahu jalan yang satu sahaja,” katanya.
Sebenarnya,
sejak kecil lagi Nurul menunjukkan minat terhadap Islam dan adat Melayu apabila
gemar berbaju kurung tapi hanya berpeluang sewaktu menuntut di sekolah
menengah. “Saya lihat kawan-kawan yang memakai baju kurung macam cantik tetapi
ibu bapa melarang kerana kami bukan Islam. Sampailah sekolah menengah, baru
saya boleh rasa perasaannya memakai baju kurung itu. “Sekarang baru saya sedar,
petunjuk awal saya memeluk Islam ada sewaktu kecil biarpun hanya setakat pakai uniform,” katanya yang
berusia 24 tahun dan belum berumah tangga.
Beliau
mula serius mendekati Islam ketika bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah
pusat beli-belah terkemuka di Damansara. Minat terhadap Islam membuatkannya
sering bertanya kepada rakan-rakan sekerja beragama Islam bagi mendapatkan
penjelasan. “Penjelasan mereka sedikit sebanyak memberi saya pengetahuan,”
katanya yang sentiasa bertanya sebarang kemusykilan mengenai Islam kepada
mereka yang lebih tahu. “Saya harap mereka akan menerima saya dengan hati yang
terbuka,” katanya.
Sumber Selangorkini / 26 Januari 2014
0 comments:
Post a Comment