Sponsor

Monday, February 10, 2014

Forum Muslim For Democrat - Datuk Seri Anwar Di Undang Semula ke Jepun...

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan akan mengadakan semula lawatan ke Jepun bagi menghadiri forum "Muslim Democrat" yang terhalang Januari lalu. Beliau yang menerima kunjungan daripada Pengerusi Sasakawa Peace Foundation, Jiro Hanyu hari ini turut menerima permohonan maaf pihak penganjur kerana insiden yang memalukan itu.

"Saya menghargai tindakan yayasan yang mengambil berat insiden itu, dan beliau sendiri datang memohon maaf. "Saya terima pelawaan itu dan mahu teruskan forum tersebut pada 26 Februari ini bagi kepentingan negara Islam berdemokrasi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pihak Sasakawa Peace Foundation, di sini.

Pada 19 Januari lalu, Anwar telah ditahan oleh pihak berkuasa Imigresen Jepun daripada memasuki negara itu sebaik sahaja beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo. Anwar dalam responsnya mendakwa, kerajaan Malaysia telah memberikan laporan terbaru termasuk skandal kepada kerajaan Jepun menyebabkan beliau dihalang memasuki negara tersebut secara sah.

Namun Jurucakap kedutaan Jepun, Tomoko Nagai sebelum ini dipetik sebagai berkata, Anwar dilarang memasuki Jepun kerana melakukan kesalahan dan pernah dipenjara pada tahun 1999. Menurutnya, sesiapa sahaja yang pernah melakukan kesalahan dan menjalani hukuman penjara sama ada di Jepun atau negara lain tidak dibenarkan memasuki negara itu.

Namun, Jiro Hanyu hari ini memberi jaminan insiden yang memalukan itu tidak akan berulang lagi dan pihaknya bertanggungjawab di atas kesilapan teknikal yang menghalang Anwar memasuki negara matahari terbit itu.
"Saya tidak berpuas hati dengan insiden itu dan saya akan meminta pihak terbabit buat penjelasan lanjut dan memohon maaf kepada Anwar Ibrahim. "Saya hos program itu dan saya bertanggungjawab terhadap insiden yang sangat memalukan itu dan berharap ia tidak menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Jepun," katanya.
Dalam pada itu, kata Anwar, forum Muslin for Democrat itu sebelum ini dihoskan negara Turki dan Indonesia, kini giliran Tokyo pula meneruskannya demi kepentingan negara Asia dan Islam. "Saya menghargai kepedulian beliau dengan hadir sendiri bertemu saya menyatakan pendirian beliau dan yayasan dan mereka sudah menghubungi semua agensi kementerian di jepun bagi menyelesaikan masalah ini.
"Agenda utama kita termasuk perbincangan tentang Forum Muslim For Democrat di mana ia sedang berjalan, sebab itu perbincangan di Tokyo perlu diteruskan," katanya lagi.


Sinar Harian / 10 Feb 2014

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/