Sponsor

Wednesday, February 5, 2014

Memori Kajang - 'Ditikam Kawan Sendiri Akibat Salah Faham'.....

Sebelum kewujudan Kajang, terdapat satu kawasan penempatan orang asli dan Melayu bernama Reko.Pada satu hari, dua orang sahabat, seorang Melayu dan orang asli menaiki sampan melalui Sungai Langat untuk menuju pulang. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya, lalu mereka berhenti berteduh. Sahabat Melayu mengajak rakannya untuk berkajang di situ. Kepada orang Melayu, berkajang bermaksud berteduh, tapi pada fahaman orang asli, berkajang bermaksud bertikam. Oleh kerana salah faham, maka orang asli menikam rakannya itu. Maka dengan itu, tempat tersebut telah diberi nama Kajang. 
Sumber asal usul Kajang dari Perpustakaan UKM Bangi, Selangor.
Peristiwa yang tidak ada siapa pun mampu mengiyakan, kerana sumbernya adalah sebuah cerita lisan, tiada fakta yang menyokongnya. Mitos ini tiada siapa pun ketahui tarikh kejadian serta pengesahan yang menjadi asal-usul nama Kajang. Namun, ceritanya mungkin ada signifikan boleh diterima akal, kerana salah faham komunikasi (miscommunication) sehingga berlakunya peristiwa berdarah tersebut, atau mungkin ada yang membacanya terasa lucu serta sangsi dan mempertikaikan kesahihannya kerana dengan mudah orang asli tersebut menikam rakan Melayunya tanpa usul periksa dan bertanyakan sebab musabab mereka perlu bertikam yang sudah pasti diperbetulkan rakan Melayu itu!
Tiba-tiba nama Kajang menjadi sangat panas, mungkin sepanas bara arang satay kajang ekoran peletakan jawatan secara drastik dan mengejutkan Ahli Dewan Undangan N25 Kajang, CC Lee yang menimbulkan kontroversi dan mengundang pelbagai persepsi. Kajang menjadi isu yang sangat panas, sama ada positif dan negatif oleh semua pihak, dan rakan Pakatan Rakyat serta seterunya, Umno-BN bagai 'cacing kepanasan'.Kehangatan ini bukan sahaja menimbulkan reaksi di kalangan politikus, malah turut mendapat respon daripada ahli akademik, penganalisis politik serta orang awam. Lebih ketara isu Kajang terus 'dikipas' oleh media massa , media internet dan media sosial.
Pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh rakan Pakatan Rakyat yang secara negatif dan positif  mengundang perdebatan. Ada yang dilihat bersifat egois serta amat kasar hingga sanggup memboikot PRK dan membiarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendirian, dan ada yang melihat relevan PRK Kajang dan tindakan positif Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kepentingan Pakatan dan rakyat Selangor untuk terus utuh di Selangor. Sudah pasti yang akan bertepuk tangan ialah Umno-BN , yang bakal menikmati 'satay' hasil kontroversi dan polemik dalam Pakatan sendiri.
Pertelingkahan dan serangan beberapa kenyataan yang dilabel 'geng kopiah putih' begitu ekstrim dan prejudis terhadap PRK Kajang, termasuk melalui media sosial mereka yang dijadikan bahan kepada pimpinan dan media Umno-BN, khususnya Utusan Malaysia dan TV3. Serangan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula dan lebih ketara apabila beliau diumumkan sebagai calon PKR, dengan pelbagai tohmahan dan kejengkelan. Apa lagi ditohmah dengan pelbagai kemaruk yang sengaja direka.
Namun semua itu tidak sedikit pun menggugat keteguhan dan keyakinan Ketua Umum PKR dan Penasihat Ekonomi Selangor tersebut. Datuk Seri Anwar sedikit pun tidak membalas sebarang siri serangan oleh mana-mana pihak, malah memberikan penjelasan secara rasional, khususnya kepada rakyat Kajang.
Walaupun dalam pergeseran pendapat dan pandangan mana-mana pihak, namun atas solidariti bersama, Pengerusi DAP, Karpal Singh lebih awal menyatakan pendirian yang cukup tegas memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan membantu memastikan kemenangan N25 Kajang. Akhirnya 4 Januari 2014, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang selepas mesyuarat Lujnah Politik dan Pilihanraya PAS Pusat dalam kenyataan rasmi beliau menyatakan pendirian PAS Pusat dan PAS Selangor akan membantu PRK N25 Kajang yang diwakili oleh PKR.
Diharapkan komitmen ini memberikan impak positif serta meredakan dan menghentikan segala pandangan negatif serta mengambil sikap positif ke arah perpaduan dan iltizam bersama, kerana musuh sebenar adalah Umno-BN. Solidariti dan komitmen bersama PR sudah pasti akan menghancurkan konspirasi jahat Umno-BN yang akan menggunakan pendekatan memecah-belahkan Pakatan.
Suka atau tidak, N25 sudah dikosongkan dan PRK tetap akan dilaksanakan berdasarkan lunas Perlembagaan Negara, dan sudah pasti seteru yang sama akan dihadapi iaitu Barisan Nasional yang diwakili MCA (walaupun terdapat ura-ura Umno inginkan kerusi Kajang daripada MCA). Keyakinan wajar diberikan bahawa tindakan yang diambil sehingga C C Lee sanggup bertindak mengosongkan N25 Kajang bukanlah satu keputusan yang mudah dan sekadar mainan atau suka-suka. Malah ianya dibincangkan secara serius di peringkat Kepimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat.
Bagi PKR, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan yang diambil ini bukanlah bersifat populis dan langsung tidak bersifat peribadi tetapi terpaksa dilaksanakan demi kepentingan Pakatan Rakyat di Selangor bagi memastikan segala agenda Umno-BN untuk menawan Selangor akan dikuburkan, dan bersama pimpinan Pakatan Rakyat, akan melaksanakan agenda reformasi ke arah Selangor yang lebih cemerlang demi kepentingan rakyat.
Mitos asal-usul Kajang wajar dijadikan iktibar kepada semua pihak, jangan kerana 'salah faham' antara sesama sendiri atau rakan akhirnya kita 'bertikaman', yang pastinya meninggalkan sejarah kehancuran dan  mengundang kekalahan. Hentikan segala kenyataan yang menggamit perpecahan dan fahami bahawa politik adalah seni yang adakala sukar difahami dan memerlukan kefahaman yang tertentu, malah bukan semua strategi dapat diberitahu secara terbuka. Kebijakkan politik perlu dihayati sepenuhnya agar kerangka besar Pakatan untuk menawan Putrajaya dapat dilaksanakan pada PRU14.
Jangan kerana 'salah faham' akhirnya kita 'bertikaman' sesama sendiri yang sudah pasti tidak membawa sebarang manfaat kecuali natijah kehancuran. Mitos tersebut biarlah menjadi sejarah atau cerita rakyat yang tidak perlu berulang kembali.
Sumber Malaysian Insider/5 Feb 2014                                                                                                          Penulis ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/