Sponsor

Tuesday, August 12, 2014

Hanya Tinggal Menteri Besar Dan Empat Exco Dari Pas Mentadbir Selangor Selepas Exco Dari PKR, DAP Dipecat....?..


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memecat kesemua Exco PKR dan DAP berkuatkuasa hari ini melalui surat kepada 6 Exco terbabit. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 12 Ogos, 2014.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memecat kesemua Exco PKR dan DAP berkuatkuasa hari ini melalui surat kepada 6 Exco terbabit. 

Pakatan Rakyat (PR) hari ini kehilangan kerajaan Selangor apabila Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memecat kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) PKR dan DAP. Lima daripada exco yang terlibat menerima surat pemecatan mereka sementara Exco PKR Rodziah Ismail berada di luar negara. Tindakan Khalid ini meninggalkan beliau dengan empat Exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor.

Tidak diketahui sama ada kepimpinan PAS sedar mengenai pemecatan ini serta pendapat mereka tentang isu ini. PAS menegaskan keputusannya tentang menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor hanya akan dibuat pada 17 Ogos. Kepimpinan PKR dan DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini dan dijangka akan menyatakan pendirian mereka selepas mesyuarat.

Selain Rodziah, lima yang menerima surat pemecatan adalah Datuk Teng Chang Khim, V Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah dari DAP dan Elizabeth Wong dan Dr Daroyah Alwi dari PKR. Khalid berkata, keputusan memecat 6 exco terbabit dibuat kerana mereka membuat beberapa kenyataan dan menandatangani surat supaya diadakan satu blok yang bertujuan mengurangkan kecekapan kerja. "Oleh itu saya minta dan tulis surat kepada Sultan Selangor supaya exco ini tidak meneruskan kerjanya sebagai exco kerajaan. "Bagaimanapun saya belum menulis kepada Rodziah kerana berasa beliau berada di luar negara," katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam hari ini.

Empat exco yang dikekalkan daripada PAS ialah Iskandar Abdul Samad, Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Sallehen Mukhyi. Menurut Khalid, beliau juga sudah berjumpa dengan Exco PAS berbincang cara untuk mengendalikan mesyuarat Exco esok tanpa kehadiran DAP dan PKR. Ditanya sama ada tindakannya itu cenderung dengan hasrat untuk menyertai PAS, beliau menafikannya. "Perjumpaan saya dengan Exco PAS, kita sudah berbincang bagaimana mahu mengendalikan mesyuarat Exco esok dan apakah perkara penting yang mesti kita utamakan untuk menunjukkan bahawa pentadbiran Selangor terus mantap dan program pembangunan yang kita lakukan dapat dilaksanakan dan menentukan bahawa kerjasama antara Exco berterusan," katanya.

The Malaysian Insider difahamkan, pemecatan itu dibuat ekoran 6 Exco terbabit mengeluarkan kenyataan yang melanggar etika selepas mengangkat sumpah mentaati dan menjaga kerahsiaan negeri. Khalid yang mengetahui pendirian 6 Exco terbabit kemudiannya merujuk kepada istana dan menulis draf arahan pemecatan.

Surat pemecatan itu kemudiannya dibawa ke istana dan dipersembahkan kepada Sultan Selangor untuk ditandatangani.‎ Selepas berjaya mendapat tandatangan Sultan petang tadi, Pejabat Menteri Besar Selangor kemudian menyerahkan surat kepada mereka yang terlibat. Sumber memberitahu The Malaysian Insider, pejabat Exco masing-masing menerima surat pemecatan kira-kira pukul 6 petang tadi. Artikel 53 (2) (b) Undang-Undang Tubuh Negeri juga memberi kuasa kepada menteri besar menasihati Exco supaya meletakkan jawatan sebelum mengemukakan cadangan kepada Sultan.

Enam Exco DAP dan PKR dalam kenyataan bersama sebelum ini membuat pendirian mahu menghadkan kuasa Khalid daripada membuat sebarang keputusan dalam mesyuarat Exco.
Kata mereka, keputusan sebaliknya perlu dibuat melalui proses undian selepas menganggap kedudukan dan fungsi Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang menteri besar baru daripada PR. "Kami tidak akan berjumpa dengan Khalid (kecuali di mesyuarat mingguan Exco) untuk mengelakkan sebarang perbincangan mengenai kedudukan parti masing-masing," kata mereka hari ini.

PKR dan DAP sebelum ini mengarahkan ahli mereka supaya terus berkhidmat sebagai Exco walaupun tidak lagi tidak mengiktiraf Khalid sebagai menteri besar yang sah selepas dipecat PKR minggu lalu. Khalid semalam mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meneruskan tugasnya seperti biasa. Beliau juga mengarahkan 6 Exco terbabit meletakkan jawatan jika tidak lagi mahu bekerja bersamanya.

Teng ketika ditemui pemberita pagi tadi berkata tidak akan meletakkan jawatan dan akan meneruskan tugasnya seperti biasa sehingga mendapat arahan baru daripada DAP. Empat Exco PAS itu pula dijangka kekal dalam portfolio masing-masing sehingga PAS Pusat membuat pendirian rasmi mengenai kedudukan Khalid pada 17 Ogos depan.

Sultan Selangor dalam kenyataan melalui Setiausaha Sulitnya hari ini tidak berkenan untuk berjumpa dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana tidak mahu campur tangan dalam kemelut politik Pakatan Rakyat. Baginda juga berpendirian pemecatan Khalid dalam PKR tidak ada kaitan dengan pentadbiran negeri dan kedudukan beliau sebagai ketua eksekutif negeri. – TMI/12 Ogos, 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/