Sponsor

Wednesday, August 13, 2014

Gesaan Lim Guan Eng Supaya Exco PAS Tidak Hadir Mesyuarat, Boleh Menyebabkan Kerajaan Jatuh,.. ‘Adakah Itu Kehendak Kita’...?

Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) PAS perlu menghadiri mesyuarat hari ini untuk memastikan kerajaan negeri terus kekal sehingga parti Islam itu bermesyuarat pada 17 Ogos ini, kata Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Khalid Samad.
Khalid berkata, PKR dan DAP perlu memahami, jika semua exco Selangor tidak hadir bermakna kerajaan boleh jatuh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dibubarkan.
"Adakah itu kehendak kita," kata Khalid ketika mengulas desakan PKR dan DAP agar empat exco PAS tidak hadir dalam mesyuarat kerajaan negeri Selangor hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak tahu apakah semua empat exco PAS itu akan menyertai mesyuarat atau tidak.

Malam tadi, DAP dan PKR merayu kepada PAS agar memboikot mesyuarat exco hari ini sebagai solidariti kepada pemecatan enam exco oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pemecatan enam exco PKR dan DAP oleh Khalid bercanggah dengan prinsip demokrasi dan tidak beretika. "Saya sudah hubungi Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan sampaikan amanat daripada pucuk pimpinan parti meminta solidariti kepada 6 exco DAP dan PKR. “Saya menggesa empat lagi exco PAS tidak hadir mesyuarat esok," kata Lim pada sidang media yang padat dengan wartawan dan penyokong di ibu pejabat PKR malam tadi.

Exco kerajaan Selangor daripada PAS adalah Iskandar Samad, Dr Halimah Ali, Dr Yunus Khairy dan Salehen Muhyi. Kerajaan negeri Selangor memerlukan sekurang-kurangnya empat exco untuk terus kekal. Sehubungan itu, Mustafa mengarahkan mereka terus kekal dalam exco bagi memastikan keberlangsungan kerajaan Selangor.

Semalam Khalid mengumumkan pemecatan enam exco daripada PKR dan DAP dan mengatakan ia sudah diperkenankan Sultan Selangor. Exco yang dipecat Khalid adalah Datuk Teng Chang Kim (Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan), Rodziah Ismail (Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita), Ean Yong Hian Wah (Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu, Pemutihan Kilang Haram). Selain itu beliau turut memecat Elizabeth Wong (Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar), Dr Daroyah Alwi (Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Ganabatirau Veraman (Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin).

Teng semalam menolak pemecatan itu dan berkata hanya Sultan Selangor berhak mengambil tindakan sedemikian. "Pelantikan exco Selangor dibuat oleh Sultan atas nasihat menteri besar. "Oleh itu, Sultan saja boleh tolak kedudukan exco," kata Teng, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Sungai Pinang pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi. – TMI/13 Ogos, 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/