Sponsor

Tuesday, October 13, 2015

Ada 'Tenrog' Di Sebalik Kehilangan Tujuh Anak-Anak Orang Asli Di Gua Musang..

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak Orang Asli, Mirsudiar Aluj, 11, memberitahu dia ada mendengar bunyi helikopter pihak tentera serta menjerit kepada anggota pasukan penyelamat yang sedang mencari di kawasan berhampiran.Bagaimanapun, jeritan tersebut tidak didengari oleh pasukan penyelamat walaupun jarak antara mereka tidak jauh. Menurut bapa saudara Mirsudiar, Akek Bahir, 46, bunyi helikopter itu dapat didengari melalui atas kepala mereka yang terletak kira-kira tiga kilometer dari pusat operasi di Pos Tohoi pada hari ke-12 kanak-kanak itu hilang.“Malah ketika pasukan mencari me­lakukan pencarian di kawasan tersebut, kanak-kanak itu menyedari kehadiran anggota terdiri daripada beberapa agensi itu.
“Namun jeritan kanak-kanak ini tidak didengari walau bunyi pasukan penyelamat itu agak dekat dengan mereka. Jika sebaliknya, saya percaya nasib lima lagi rakan Mirsudiar yang maut akan berbeza selain dapat di­selamatkan,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.
Selain Mirsudiar, enam lagi yang hilang sejak 23 Ogos lalu ialah Norieen Yaakob, 10; Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Linda Rosli, 8; Haikal Yaakob, 8, dan Juvina David, 7.
Mirsudiar dan Norieen ditemui masih hidup dalam keadaan kurus kering selepas 47 hari kehilangannya. Norieen turut memaklumkan kepada bapa saudaranya, Herry Boy, dia turut melihat dua lagi rakannya, Sasa, Linda serta adiknya, Haikal mati selepas lemas dihanyutkan arus deras Sungai Perias.
Setakat semalam, daripada empat mayat yang ditemui oleh anggota mencari dan menyelamat, identiti tiga daripadanya telah disahkan oleh ahli keluarga masing-masing iaitu Sasa, Ika dan Juvina. Satu lagi rangka belum disahkan identitinya, manakala operasi mencari satu lagi mayat terakhir masih diteruskan.
Akek yang merupakan Penghulu Kampung Gawen itu berkata, perkara malang menimpa Haikal, Linda dan Sasa pada hari ke-14 kehilangan mereka apabila tiga kanak-kanak ini maut akibat lemas. “Kita percaya pasukan penyelamat gagal mendengar je­ritan meminta bantuan kanak-kanak itu berikutan mereka sedang 'dijaga' oleh Tenrog (orang bunian). Saya sendiri ada melakukan pencarian di kawasan mereka ditemui ini selepas empat hari mereka hilang.
“Malah ada malam yang saya bermalam di dalam hutan tetapi tiada sebarang jejak ditemui atau kelihatan. Kejadian ini memang membingungkan,” kata­nya.
Katanya, Mirsudiar kini masih berada dalam keadaan bingung apabila ditanya mengenai tragedi kehilangannya malah dia gagal mengingati kejadian tersebut dengan baik.“Ibunya (Rocita Bahir, 41) mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak ter­utama pasukan penyelamat yang tidak berputus asa dalam usaha pencarian ini,” katanya.Kosmo/13 Okt 2015

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/