Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) yang diterajui
Umno menyelar rakan sekutunya MCA kerana mengancam untuk keluar daripada BN
jika rang undang-undang persendirian itu dibawa ke Parlimen. Dalam berita bertajuk "Tidak perlu MCA
turut melalak macam DAP tentang hudud", BNBBC mengecam MCA khususnya
Timbalan Presiden parti itu, Datuk Wee Ka Siong kerana membuat kenyataan
terbuka mahu mengkaji kedudukan MCA dalam BN.
BNBBC menganggap Wee (gambar) yang juga Ahli Parlimen Ayer
Hitam yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan menteri penuh dalam kabinet
bercakap seolah-olah MCA mendominasi BN tanpa menghormati Umno yang selalu
bertolak ansur dalam agihan kerusi pilihan raya.
“Apatah lagi, MCA menyatakan tentangan terbuka terhadap hudud
ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang berkira-kira mahu
mengembalikan kuota MCA dalam Kabinet walaupun umum tahu, prestasi MCA terus
merudum dalam PRU 13. “Pastinya, amat tidak bijak tindakan Ka Siong dan beberapa
pemimpin MCA lain yang menyatakan pendirian mereka menolak hudud,” kandungan
berita itu dipetik.
BNBBC menambah, MCA tidak sepatutnya melatah atau mahu berlagak
hero bagi menunjukkan kepada masyarakat Cina bahawa parti itu memperjuangkan
kaum tersebut. “Rakyat tahu, dalam perkara ini DAP lebih berjaya berbanding
MCA,” lapor laman itu sinis.
BNBBC turut memperlekehkan MCA yang dianggap berpura-pura dengan
mengancam untuk mengumpul ribuan orang bagi mengepung Parlimen bagi menghalang
rang undang-undang persendirian berkaitan hudud daripada dibentangkan sedangkan
sokongan pengundi Cina terhadap parti itu merudum. “Sama ada Ka Siong atau presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai,
mereka sepatutnya lebih bijak dengan menyatakan pendirian ketika rang
undang-undang itu dibentangkan di Parlimen kelak. “Maksudnya, lebih baik MCA berdiam diri jika mereka tidak
bersetuju dengan pelaksanaan hudud bukannya bertindak menikam Umno yang sudah
menyatakan tidak akan menolak hukum tersebut,” tegas BNBBC.
BNBBC juga menasihati MCA supaya menghormati proses demokrasi di
Parlimen, begitu juga komponen BN lain yang mungkin tidak bersetuju dengan
hudud. “Paling tidak pun, MCA harus menanti rumusan jawatankuasa
teknikal menilai rang undang-undang berkenaan sebelum membuta tuli
menentangnya. “Atau sekurang-kurangnya pimpinan parti itu mendapatkan
penerangan mengenai hudud daripada Umno terlebih dahulu.
“Jika MCA masih berkeras mahu mengkaji kedudukan
dalam BN ataupun sudah merancang mahu keluar daripada BN, UMNO tentu tidak akan
menghalang,” berita laman BNBBC itu menyebut.
HD/ 8 Mei 2014
0 comments:
Post a Comment