Krisis peletakan jawatan Datuk Seri
Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu belum berakhir, sebaliknya babak
kedua baharu sahaja bermula dan mungkin menjadi lebih buruk, kata Pengerusi
KEADILAN Terengganu, Azan Ismail.
Katanya, terdapat desas desus tiga
Adun yang mengikuti Ahmad Said dan keluar daripada Umno dijanjikan jawatan
sebagai Exco sekiranya kembali semula ke pangkuan parti itu. “Ini menimbulkan rasa sangat tidak
berpuas hati di kalangan Adun yang tidak dilantik sebagai exco dan menyebabkan
muncul beberapa kumpulan kecil (di kalangan Adun).
“Jadi masalah ini tak akan selesai,
malah akan memburukkan suasana. Babak kedua adalah apabila pelantikan exco baru
menggantikan exco yang lama. “Episod ketegangan dan pergaduhan
mungkin lebih berpanjangan. Babak kedua ini akan diikuti babak ketiga di dalam
DUN apabila menteri besar yang baru akan diuji dengan undi tak percaya,” ujar
Azan.
Katanya, sama ada undi tidak percaya
itu diusulkan Pakatan atau BN sendiri, beliau yakin kalangan ADUN yang tidak
terpilih sebagai exco akan memberontak.
Selain itu, katanya, Umno kini
bimbang jika pihak tertentu membawa kes itu ke mahkamah berikutan keputusan
Ahmad Said bersama tiga lagi Adun mengisyitiharkan diri mereka sebagai Adun
bebas baru-baru ini. “Dari
segi perundangan, BN tidak punya hak memerintah Terengganu kerana beberapa Adun
menjadi bebas dan mereka hilang kuasa majoriti. Mereka bimbang jika ada pihak
tertentu usul ke peringkat mahkamah dan menjadikan isu ini isu perundangan.
Kerajaan negeri yang ada tak boleh bertahan lama selagi tidak mendapat fresh
mandate daripada rakyat,” ujarnya.
Azan yang juga Adun Bandar berkata,
episod di Terengganu kini dilihat menjadi lebih parah apabila terdapat pegawai
kerajaan negeri ditukar kerana dilabel pengikut setia Ahmad Said. “Mereka ini dilabelkan sesetengahnya
masih bersama bekas menteri besar. Pertukaran pimpinan adalah perkara biasa,
tetapi pertukaran dan pemecatan pegawai kerajaan tidak ubah seperti mengulangi
kesilapan pertama dengan menukar Ahmad Said sebagai MB serta merta,” katanya
menganggap keputusan itu politik balas dendam oleh menteri besar yang baharu,
Datuk Abdul Razif Abdul Rahman.
Beliau merujuk tiga pegawai kanan di
Pejabat Menteri Besar yang ditukar berkuatkuasa 14 Mei lalu, termasuk Ketua
Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Berhad, Datuk Wan Ahamad Wan Muda
yang ditukar sebagai Pegawai Jawatan Kumpulan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu. “Sekarang banyak pihak beranggapan,
isu ini telah reda. Sebenarnya ini baru tamat babak pertama kerana babak kedua
baru saja bermula,” kata Azan.
Katanya suasana politik di Terengganu
ini menyebabkan arahan daripada pentadbiran kerajaan negeri masih kabur dan
tidak jelas, sehingga mengganggu kelancaran pentadbiran. “Terdapat politiking dalam jabatan
kerajaan atau perkhidmatan pentadbiran negeri. Ada fail dilapor hilang, surat
yang dibatalkan atau tidak sah. “Tambahan exco yang ada tidak pasti
kedudukan dan nasib masing-masing. Maka berlaku suasana seperti keretapi yang
terputus kepala, huru hara dan kelicinan pentadbiran tidak berlaku,” ujar Azan.
“Saya melihat bahawa ujian sangat
getir jelas diletak kepada menteri besar yang baru yang tidak mempunyai
pengalaman dan hanya dua penggal sebagai Adun. Dia kini diberi tanggungjawab
sebagai MB dan memasuki pejabat MB dalam suasana yang genting dalam krisis
sebegini,” ujarnya.- KD/15 Mei 2014
0 comments:
Post a Comment