Kenaikan tarif elektrik yang
diumumkan baru-baru ini dilihat satu keperluan bagi menampung hutang negara
yang semakin melonjak. Pengerusi Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya
Sahri, berkata kerajaan terpaksa mencari sumber bagi menampung hutang negara
yang melonjak.
Katanya, dengan kenaikan tarif elektrik ia boleh membantu
kutipan bulanan dengan lebih cepat. “Jika hendak harapkan perlaksanaan
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), ia lambat lagi dilaksanakan. Jadi dengan
cara ini, ia lebih cepat,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini,
hari ini.
Yahya berkata, kerajaan juga terpaksa menampung kos pencarian
pesawat MH370 yang masih hilang ketika ini, selain hutang negara yang
meningkat. “Kita juga tidak tahu kos sebenar pencarian MH370 yang masih
menjadi teka-teki,” katanya.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, yang mendakwa tarif elektrik naik demi masa
depan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan negara, Yahya menyifatkan Najib
sepatutnya meletakkan jawatan kerana ia bukan satu alasan yang kukuh.
Katanya, hal itu kerana rekod kewangan TNB tidak memperlihatkan
kurangnya hasil atau jualan, bahkan mengalami keuntungan setiap tahun. “Ia seperti dilakukan dalam keadaan
terdesak. Kita lihat apa yang disebut untuk menyelamatkan TNB daripada rugi
tetapi sebenarnya untuk selamatkan kerajaan. “Bagi pengguna dan rakyat di negera ini, sudah semestinya
terkejut dan berdukacita. Jadi, rakyat seharusnya bangkit menyatakan bantahan
terhadap kenaikan tarif elektrik dalam keadaan ekonomi ketika ini,” katanya.
Semalam, Najib berkata, pertumbuhan
ekonomi negara akan terjejas dan perjalanan Malaysia untuk menjadi negara maju
mungkin tinggal impian jika satu daripada fundamental negara iaitu bekalan
elektrik terjamin dengan harga kompetitif.
Tahun lalu, TNB mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi
berjumlah RM4.61 bilion berbanding tahun 2012 iaitu RM35.84 bilion.
Manakala bagi tahun ini, pertumbuhan permintaan elektrik
dijangka kekal teguh sejajar dengan jangkaan prospek global yang lebih cerah.- SK/17 Mei 2014
0 comments:
Post a Comment