Pertambahan undi Melayu
untuk calon DAP, Ramkarpal Singh Deo dalam pilihan raya kecil Bukit Gelugor
disifatkan satu kemenangan besar buat Pakatan Rakyat.
Menurut
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu, pengundi dari Kampung Melayu antara
yang terbanyak memberi undi kepada calon DAP walaupun Umno BN sering
menggambarkan parti itu anti Islam dan Melayu. "Kita
berbangga apabila undi melayu meningkat dalam PRK semalam. Orang Melayu di
Bukit Gelugor tidak mudah terpengaruh dengan politik Umno BN.
"Satu
kejayaan besar apabila unit peti undi di situ tidak pernah menang tetapi kali
ini ia menyebelahi Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau
yang juga Timbalan Presiden PAS, berkata, PRK Bukit Gelugor menyaksikan 869
undi dari Kampung Melayu telah berjaya diperoleh DAP berbanding 433 yang
menyokong Parti Cinta Malaysia (PCM).
Jelas Mohamad, kemenangan ini juga menunjukkan kebencian rakyat terhadap isu perkauman yang dibawa oleh Umno BN apatah lagi dengan insiden mereka menceroboh sidang Dun Pulau Pinang baru-baru ini. Bukan itu sahaja, tambahnya, kehidupan rakyat yang semakin terhimpit dengan pelbagai kenaikan kos hidup dalam masa yang sama pembaziran terus berlaku membuatkan rakyat menolak pentadbiran Umno BN. "Dalam keadaan rakyat miskin, kerajaan pula boleh membawa masuk dua ekor panda yang menelan kos puluhan juta ringgit, bagi rakyat ini adalah pembaziran," katanya yang juga Timbalan Presiden PAS.
Selain tanpa penyertaan Umno dalam PRK ini, bagi Mohamad tiga calon lawan DAP yang kehilangan wang deposit juga memberi gambaran bahawa Pakatan Rakyat menjadi pilihan rakyat. "Kemenangan ini sekaligus menjadi referedum rakyat menolak pentadbiran Umno BN," tambahnya.
Dalam PRK itu, calon Pakatan Rakyat dari DAP itu menang dengan majoriti 37,659 undi. Calon PCM, Datuk Huan Cheng Guan mendapat 3,583 undi sementara dua calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar (799) dan Abu Backer Sidek (225), undi rosak pula 539.
Sebanyak 46,099 pengundi atau 56.04 peratus daripada keseluruhan 82,431 membuang undi di 17 pusat mengundi. - HD 26/5/2014
0 comments:
Post a Comment