Walaupun hujan lebat dan
dentuman guruh, kira-kira 700 anggota Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah
Melayu Berhad (KPPKTMB) tidak berganjak dari bangunan Keretapi Tanah Melayu
Berhad (KTMB) berhimpun untuk mendesak Datuk Elias Kadir melepaskan jawatan
sebagai presiden KTMB.
Presiden KPPKTMB Abdul Razak Md Hassan yang
mengetuai kumpulan itu mendakwa Elias Kadir tidak menunjukkan prestasi yang
cemerlang sepanjang perkhidmatan beliau selama dua tahun ini.
"Demonstrasi hari ini menyampaikan rasa tak
puas hati dengan Datuk Elias Kadir yang telah menjawat jawatan presiden selama
2 tahun, beliau tidak melaksanakan tugas dengan berkesan. "Tanggungjawab Elias
Kadir cari cara naikkan pendapatan (KTMB), kalau dia gagal tambah pendapatan
dia boleh berambus!.."Cukup, dua tahun cukup lama. Kita kecewa
kerana dia tak mampu cetuskan idea," katanya ketika perhimpunan
berlangsung petang tadi.
Ketika ditanya media mengenai tindakan
selanjutnya sekiranya demonstrasi ini tidak berjaya, Abdul Razak berkata
pihaknya merancang untuk mengadakan satu lagi perhimpunan di Kementerian
Kewangan di Putrajaya.
Demonstrasi bermula jam 5
petang tadi berlangsung apabila semua penyokong dari sepuluh cawangan kesatuan
seluruh negeri berhimpun di Hotel Heritage sebelum berarak ke depan
bangunan KTMB - berdekatan Masjid Negara.
Penyokong yang hadir melaungkan Hidup! Hidup!
Hidup! Tolak Elias Kadir!. Ada juga yang meniupkan wisel berselang-seli dengan
laungan tersebut.
Ditambah pula paluan gendang dan drum bagi
menaikkan semangat semua penyokong dan kelihatan ketika itu mereka turut
menyanyikan lagu tema KPPTMB dan "Inilah barisan kita".
Manakala kenderaan yang lalu di jalan itu turut membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada kesatuan pekerja yang berhimpun.Turut kelihatan polis mengawal lalu lintas dan kawasan perkarangan KTMB bagi menjaga keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung.
Tepat jam 5.20 petang hujan turun dengan lebat dan petir sabung menyabung namun penyokong masih tidak meninggalkan kawasan hadapan KTMB itu.
Sebaliknya penyokong
kelihatan masih bersemangat serta melaung-laungkan kata semangat sambil menari
dalam hujan yang semakin lebat mengikut paluan gendang sehingga perhimpunan
berakhir jam 7.00 malam.
MK/9 Mei 2014
0 comments:
Post a Comment