BANGKOK - Pemimpin sebuah pergerakan pro kerajaan yang menyokong perdana menteri yang kini dilanda masalah, telah berikrar akan bertindak balas jika institusi kehakiman negara dan agensi-agensi pengawasan cuba menyingkirkan kerajaan secara tidak demokrasi.
Pemimpin pasukan Baju Merah, Jatuporn Promphan membuat ulasan semalam pada permulaan rapat tiga hari di pinggir Bangkok yang bertujuan menangani bantahan anti kerajaan selama berbulan-bulan dan siri-siri cabaran undang-undang yang boleh menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.“Apabila yang paling kami bimbangkan ialah “perang saudara”, yang tidak ingin ia berlaku,” Jatuporn memberitahu wartawan. Tetapi dia menambah kata “Ia akan berlaku jika berlaku rampasan kuasa dan demokrasi dicuri.”
Meskipun bilangan pembantah-pembantah anti kerajaan telah berkurang secara dramatik dalam beberapa minggu kebelakangan, Yingluck dan kerajaannya masih begitu terdedah kepada ancaman undang-undang, yang menurut penyokong-penyokongnya telah digiatkan sejak bantahan di jalan raya gagal menggulingkannya.
Kebanyakan penganalisis meramalkan pentadbirannya akan jatuh ke tangan “rampasan kehakiman” kerana mahkamah dan agensi kerajaan bebas Thailand secara meluas dianggap berat sebelah terhadap jentera politik Shinawatra. Bercakap kepada berpuluh-puluh ribu orang Jatuporn berkata pembantah-pembantah dan institusi kehakiman negara berusaha “mengambil alih kuasa tanpa pilihan raya. Kami akan melawan jika negara menjadi tidak demokrasi.”
“Rakyat Thailand telah mencapai tahap tidak ada harapan, kerana kami menyedari penipuan yang berulang-ulang,” katanya dalam ulasan kepada wartawan selepas itu.
Thailand telah digegarkan dengan bantahan antikerajaan selama lima bulan yang menjadi semakin hebat selepas parti memerintah cuba mengemukakan rang undang-undang kepada Parlimen yang akan membolehkan abang Yingluck, Thaksin Shinawatra, bekas perdana menteri jutawan yang telah digulingkan oleh tentera dalam rampasan kuasa tentera dalam tahun 2006, untuk kembali dari hidup dalam buangan dan mengelak menjalani hukuman penjara bagi dakwaan rasuah.
Selepas penggulingan Thaksin, dua orang Perdana Menteri pro Thaksin disingkirkan dari jawatan mereka selepas perintah kehakiman berkontroversi dan taktik parlimen. Perebutan kuasa kini menumpu pada penyingkiran Yingluck, yang telah mengambil alih kepimpinan dalam tahun 2012 selepas pengundian yang dianggap bebas dan adil.
Dua puluh empat orang terbunuh dan lebih 700 orang cedera dalam keganasan sekali skala sejak November lalu.
Rabu lalu, Mahkamah Perlembagaan mengumumkan ia akan mendengarkan kes yang menuduh Yingluck salah laku kerana memindahkan ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan dalam tahun 2011, kepada jawatan lain dalam konflik kepentingan. Mahkamah memerintahkan Yingluck mengemukakan pembelaannya dalam tempoh 25 hari. Jika dia didapati bersalah campur tangan dalam usaha kerajaan untuk kepentingan peribadi atau parti politiknya, beliau akan terpaksa meletak jawatan. – Agensi
0 comments:
Post a Comment