Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yakob, semalam menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya dari Perlis, Tuan Azlan Mat.
Kunjungan hormat Menteri Besar Perlis itu bertujuan mengundang Ustaz Ahmad serta skuad sukan negeri untuk menghadiri temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-17 yang bermula 24 Mei hingga 4 Jun akan datang. Pertemuan berlangsung di pejabat Menteri Besar, Kota Darulnaim, dekat sini.Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Dr Ramli Mamat serta delegasi Kerajaan Negeri Perlis.
Dalam pertemuan ringkas, Azlan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi menerima kunjungannya. “Saya menjemput Ustaz Datuk serta yang lainnya menghadiri majlis perasmian Sukma yang bakal berlangsung pada 26 Mei serta hari-hari lain sepanjang temasya sukan diadakan,”ujarnya.
Azlan memberitahu, Perlis sejak sekian lama berhasrat untuk menjadi tuan rumah Sukma namun baru sekarang ianya berhasil. Sementara itu Ahmad mengucapkan tahniah pada Kerajaan Perlis kerana akhirnya dipilih menjadi tuan rumah Sukma Ke-17 selepas Terengganu.
Menurutnya, Perlis walaupun sebuah negeri kecil diharap mampu mencapai kecemerlangan melalui sukan nasional itu.
“Jangan dipandang pada kecil atau besar, belum cuba belum tahu,” ujarnya sambil ketawa kecil memberi semangat kepada Perlis. Ahmad turut mengucapkan terima kasih di atas kesudian Menteri Besar itu mengunjunginya.
“Insya Allah kita akan mengadakan kunjungan balas nanti,”ujarnya.
0 comments:
Post a Comment