Hujan yang turun semalam tidak
menghalang orang ramai untuk memberikan penghormatan terakhir kepada
"Harimau Jelutong" yang meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri
baru-baru ini. Kebanyakan yang hadir kelihatan sedih
dan sayu namun bersemangat untuk melihat wajah pemimpin veteran DAP, Karpal
Singh yang tidak pernah menyerah kalah dalam perjuangan menegakkan keadilan di
Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Karpal mengajar rakyat Malaysia untuk
tidak tunduk kepada penindasan dan melawan sehingga ke akhirnya. Selain itu, pengajaran besar
disampaikan Karpal adalah bagaimana untuk komited dengan tugas apabila beliau
sendiri terlibat dalam kemalangan ketika sedang dalam perjalanan ke Pulau
Pinang untuk menghadiri satu kes mahkamah.
Saya bersama tiga lagi teman
tidak mahu terlepas ke Pulau Pinang untuk bersama-sama ribuan rakyat
melihatnya buat kali terakhir. Sebaik saja berhampiran dengan
kawasan rumahnya, jalan mulai sesak. Kelihatan banyak kenderaan yang
diletak di tepi jalan, walaupun terdapat tempat letak kereta rasmi disediakan
oleh DAP bagi hadirin.
Semakin hampir dengan rumahnya
kelihatan ramai orang berkumpul di luar rumahnya. Kami terpaksa beratur panjang sebelum
dapat melihat wajah Karpal buat kali terakhir. Yang beratur bersama-sama kami
kebanyakannya orang biasa yang mengenali Karpal kerana ketokohannya dan bukan
sebagai ahli politik DAP atau Pakatan Rakyat (PR).
Namun, kelihatan juga wajah pimpinan
parti DAP, PAS dan PKR yang hadir memberikan penghormatan terakhir. Gobind Singh Deo, salah seorang anak
lelaki Karpal mewakili keluarganya untuk bersalam dengan orang ramai. Ketika bersalam dengannya, saya
memperkenalkan diri dan bertanya tentang apakah komen beliau tentang penghinaan
terhadap mayat bapanya oleh seorang ahli Parlimen. “Biarkanlah dia, kami ada banyak
perkara yang perlu diuruskan. Lain kali saya akan komen," kata Gobind
dengan tenang, tidak seperti wataknya yang agresif seperti dikenali ramai.
Beban di bahu Gobind dan
adik-beradiknya yang lain besar. Bapanya meninggalkan dua bidang yang beliau
kuasai sejak sekian lama. Bidang guaman dan politik yang tidak
pernah sunyi daripada nama Karpal.
Beliau dihormati kawan dan lawan.
Beliau dihormati kawan dan lawan.
Terlihat juga wajah Lim Kit Siang dan
Lim Guan Eng yang begitu sedih. Apa lagi Kit Siang yang sudah
bersama-sama berjuang dengan Karpal selama lebih 40 tahun. Bagaimanapun, kematian Karpal
mendedahkan sisi-sisi buruk sesetengah umat Islam yang tidak matang dan jahil.
Lebih menyedihkan lagi apabila
terdapat wakil rakyat yang mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja menyinggung
perasaan keluarga mendiang tetapi menunjukkan betapa tidak layaknya
mereka untuk menjadi pemimpin. Tindakan memperlekehkan mayat Karpal
dan menyerang Karpal yang sudah mati merupakan satu tindakan hina yang boleh
dikeluarkan oleh seseorang umat Islam.
Facebook juga mendedahkan terdapat
umat Islam yang membuat "kerja-kerja tuhan" dengan menulis ayat
seperti: "Apa pun kebaikan dilakukan Karpal, oleh kerana beliau bukan
Islam beliau akan tetap masuk neraka."
Tindakan pertama saya lakukan jika
melihat seseorang dalam garis masa Facebook saya menulis sesuatu seperti ini
ialah menyingkirkan mereka daripada senarai kawan saya. Saya menghormati kebebasan bersuara
tetapi saya tidak akan berkompromi dengan kebodohan.
Hari ini upacara pengebumian dengan
penghormatan negeri, diberikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang. Semakin ramai yang memasuki Pulau
Mutiara itu. Sementara saya dan teman-teman akan meninggalkan Pulau Pinang
selepas sarapan pagi.
Selamat jalan Karpal.
Amin
Iskandar/MI/20 April 2014
0 comments:
Post a Comment