Pro Mahasiswa Universiti Malaya kesal
dengan tindakan pengurusan kampus kerana menutup empat daripada lima pintu
pagar pusat pengajian tinggi berkenaan bagi menyambut lawatan Presiden Amerika
Syarikat, Barrack Obama. Pengerusi Pro Mahasiswa UM,
Abdul Muqit Bin Muhammad menyifatkan tindakan tersebut keterlaluan dan hanya
menyusahkan pelajar.
“Demi menjaga hati Presiden Amerika
itu, pihak pengurusan telah membuat keputusan yang akhirnya menyusahkan
pelajar. “Seharusnya tidak perlulah menutup
jalan masuk yang digunakan pelajar, cuma khaskan satu laluan untuk digunakan
oleh Obama sudah memadai,” jelas Abdul Muqit.
Tambahnya, apa yang menyedihkan
adalah laluan yang dibuka untuk digunakan oleh pelajar terletak jauh dari
bangunan kampus pengajian.
Ini menurutnya hanya menyukarkan
pelajar yang tidak mempunyai kenderaan sendiri atau yang terpaksa bergantung
kepada pengangkutan awam.
Malah keghairahan pihak kampus
menyambut lawatan Obama akhirnya mengakibatkan banyak program yang awalnya
dirancang oleh pelajar terpaksa dibatalkan.
“Kalaulah betul pemimpin itu berjiwa
rakyat, kedatangan mereka seharusnya tidak menyusahkan kami pelajar, tapi apa
yang berlaku sebaliknya, kami terbeban,” tegas beliau.
Dalam pada itu, pro Mahasiswa UM
mengambil kesempatan menzahirkan pendirian mereka terhadap Obama dalam beberapa
isu khususnya penjajahan ekonomi melalui TPPA dan pendirian Obama
terhadap krisis kemanusiaan sejagat.
Untuk itu, satu protes untuk
menyambut kedatangan Obama ke Universiti tersebut dirancang diadakan di
pintu utama universiti tertua di Malaysia itu hari ini.
KD/27 April 2014
0 comments:
Post a Comment