MCA digesa supaya menyatakan
pendirian tegas mengenai pelaksanaan hudud selepas Umno secara terbuka
menyokong hasrat PAS membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian di
Parlimen untuk membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.
Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok
(gambar) berkata, Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai perlu jelaskan pendirian
sebenar MCA dan keputusan yang akan diambil ekoran kenyataan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan pusat tidak pernah menolak pelaksanaan
hudud.
"Kebisuan MCA bukan hanya sebab
mereka tidak pernah ada keberanian untuk bersemuka dengan Umno malah takut
hilang peluang menyertai semula Kabinet," kata Teresa dalam kenyataannya
hari ini.
Ahli Parlimen Seputeh itu berkata,
ramai pemimpin MCA sejak kebelakangan ini memberi respons mengenai usaha PAS
melaksanakan hudud dengan menyerang DAP. Namun katanya, serangan mereka
terhadap DAP lebih bersifat tipu dan fitnah kerana kedudukan DAP dalam
persoalan hudud sejak dulu amat jelas dan konsisten bahawa hudud melanggar
prinsip Perlembagaan dan tidak sesuai bagi masyarakat majmuk di Malaysia. "DAP parti berprinsip dan
berpegang pada kata-kata, tidak seperti MCA yang hanya menjadi parti sesumpah
untuk kelangsungan politik," katanya.
Katanya, MCA mungkin mudah lupa
mereka pernah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kenyataan
bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad semasa deklarasi September 2001
bahawa Malaysia adalah negara Islam, dan rakyat sama sekali tidak akan lupa
tentang sejarah MCA sudah “dibeli”. Berbeza dengan DAP menurut Teresa
secara lantang menentang deklarasi Mahathir dan menyatakan pendirian jelas yang
DAP tidak menyokong mana-mana konsep pembentukan negara Islam, sama ada ala PAS
atau Umno.
"MCA perlu segera hentikan
kenyataan tidak berasas terhadap DAP untuk mengalihkan tumpuan rakyat terhadap
kegagalan parti itu menyatakan respons terhadap kenyataan Najib," katanya.
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno
minggu lalu memutuskan untuk menyokong pandangan Najib dan menunggu masa untuk mengadakan
muzakarah (perbincangan) dengan PAS terlebih dahulu sebelum memutuskan bagi
melaksanakan hukum berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu dilaporkan berjumpa Mursyidul Am PAS Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat di kediaman bekas menteri besar Kelantan itu di Kota Bharu,
dipercayai mengadakan perbincangan lanjut mengenai hudud.
MI/29 April, 2014.
0 comments:
Post a Comment