Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama dijadualkan tiba di Kuala
Lumpur pada hari Ahad, 27 April 2014 ini. Lawatan beliau ke Asia kali ini juga
membawa beliau ke negara Jepun, Korea Selatan dan Filipina, khabarnya bertujuan
untuk mempertingkatan “hubungan diplomatik, ekonomi dan keselamatan” dengan
negara-negara di rantau Asia-Pasifik. Kesemua negara ini adalah peserta
di dalam TPPA.
Umum mengetahui, apa pun perkara yang
dimuat dalam agenda lawatan, fokus lawatan adalah TTPA. Obama mahu mempastikan
bahawa kesemua dua belas negara pesisiran Lautan Pasifik yang kini menyertai
perundingan TPPA akhirnya mesti menandatangani perjanjian itu. Kata kunci
di sini "mesti". Amerika melihat hanya TPPA boleh menyelamatkan
masa depan negara itu dari merudum dan hanya TPPA dapat mengimbangi kemaraan
kuasa ekonomi China di persada dunia yang mencabar kuasa ekonomi Amerika.
Pada awalnya ada maklumat yang
menyatakan bahawa perjumpaan dengan Ketua Pakatan Rakyat termasuk di dalam
agenda lawatan Obama di Malaysia. Agenda ini diturunkan gred kepada “perjumpaan
Obama dengan lapisan kedua pimpinan PR” dan yang mutakhir ini ada maklumat yang
menyatakan bahawa “tiada langsung agenda pertemuan dengan mana-mana pemimpin
pembangkang dengan Obama”.
Dikhabarkan pentadbiran Obama amat
bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyifatkan tuduhan Sodomi 2 ke
atas beliau sebagai tuduhan dan dakwaan palsu (trumped-up charges) yang sengaja
direka oleh regim pimpinan Najib untuk menamatkan karier politik pemimpin pembangkang
itu.
Perbuatan yang sedemikian, menurut
Obama (berasaskan maklumat yang dikutip) amat bertentangan dengan amalan
demokrasi dan dasar umum Amerika Syarikat yang mahu melihat demokrasi
diperkasakan di mana-mana negara di seluruh dunia.
Pembatalan pertemuan dengan ketua
pembangkang Malaysia ini satu lagi bukti yang menunjukkan hipokrasi Amerika
mengenai demokrasi. Bagi Amerika, amalan demokrasi hanya
boleh diterima jika ia tidak memudaratkan kepentingan kuasa utama dunia itu.
Bila mana amalan demokrasi dinilai sebagai membawa mudarat dan membahayakan
kepentingan Amerika, maka amalan demokrasi mesti ditolak.
Obama sudah maklum bahawa Pakatan
Rakyat menentang dan menolak TPPA. Ini bertentangan dengan apa yang
Amerika mahu daripada Malaysia. Oleh itu, pembatalan pertemuan
Obama-Anwar tidak lain bertujuan untuk memastikan hubungan Amerika dengan regim
yang ada tidak terjejas dan kepastian yang sudah diperolehi bahawa Malaysia
akan menandatangani TPPA tidak tergugat. Peduli apa dengan demokrasi.
Penganalisis berani membuat
kesimpalan bahawa apapun, banyak mana pun dan bagaimana meriah sekali pun
program yang diatur dalam menyambut kehadiran Obama di Kuala Lumpur, tujuan
utama kehadiran Obama di Malaysia hanya satu, iaitu mahu menyampaikan mesej
dengan lantang dan jelas bahawa Amerika Syarikat mahukan Perdana Menteri
menandatangani Perjanjian Perkongsian Negara-Negara Persisiran Lautan Pasifik
(TPPA). Itu sahaja.
Apa-apa jua yang berpotensi menggugat
matlamat ini dari tercapai akan diketepikan. Dan PM Najib kelihatannya
sudah pun awal-awal menjawab: "Yes Sir".
HD/23 April 2014
0 comments:
Post a Comment