Sponsor

Thursday, April 17, 2014

‘Masa Depan Bersama’, Saifuddin Di ‘Tunjuk’ Sebagai Pencabar Terkuat Untuk Jawatan Timbalan Presiden PKR...

ANTARA tiga nama besar yang merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilihat lebih menonjol sebagai pencabar utama kepada penyandang, Mohamed Azmin Ali berbanding Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Imej  dan kredibiliti yang dibawa Setiausaha Agung PKR itu lebih ‘cocok’ dan meyakinkan akar umbi pada Pemilihan PKR Mei nanti, jika diberi peluang menjadi gandingan mantap presiden serta kepimpinan parti.

Bagi pemerhati politik,  pakatan dibentuk Saifuddin bagi memasuki gelanggang persaingan timbalan presiden ini bersama Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli merebut jawatan Naib Presiden PKR, membolehkan gabungan itu bertambah kuat. Tambahan pula dalam pasukan ini, terdapat dua nama besar Izzah-Rafizi yang boleh mendapat impak sokongan daripada akar umbi.

Pasukan yang dinamakan ‘Masa Depan Bersama’  itu juga, disertai  Nik Nazmi Nik Ahmad yang bertanding Ketua AMK dan Chang Lih Kang bertanding Timbalan Ketua AMK.
Jika dinilai, peluang pakatan ini lebih cerah dan kedudukan Azmin sebagai penyandang boleh tergugat. Di media siber, banyak pihak mengandaikan pertembungan sengit adalah antara Azmin dan Khalid, walhal cabaran sebenar Azmin bukan pada Khalid sebaliknya pada Saifuddin.

Sekiranya pertembungan antara Azmin dan Khalid, lebih mudah untuk Ahli Parlimen Gombak dan Adun Bukit Antarabangsa itu bertahan, kerana sokongan akar umbi Khalid tidak sekuat Azmin di dalam PKR.
Meskipun hubungan baik Khalid dengan penyandang Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  dikatakan memberi kelebihan dan peluang cerah, namun keupayaan Khalid khasnya dalam politik begitu terhad.
Justeru, adakah dengan sokongan Wan Azizah semata-mata serta pengalaman beliau dalam urusan pentadbiran negeri, boleh menjamin laluan mudah buat Khalid.
Bagaimanapun, sejak Saifuddin membentuk pasukan bersama Rafizi dan Nurul Izzah baru-baru ini, pemerhati politik melihat kedudukan Azmin semakin goyah. Menyedari lawannya bukan calang-calang orang, mampukah Azmin kekal di posisi itu sepenggal lagi,  kerana laluan tampak berliku baginya. Selain Saifuddin, Khalid dan Azmin juga membina jaringan proksi dari jawatan naib presiden, ketua wanita, Ketua AMK hingga akar umbi.
Bagi Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir, jawatan nombor dua itu dilihat penting dalam kerangka kepimpinan parti serta kelangsungan  PKR. Oleh itu katanya, jawatan itu perlu diisi individu yang berpotensi, boleh bekerja dengan baik dengan kepimpinan lain  serta menampilkan pimpinan diyakini pengundi, selain dapat mengemukakan gagasan untuk menjamin kemenangan berpihak kepada PKR pada PRU14 kelak.
“Lebih penting, timbalan presiden itu mempunyai imej dan  bekerja dengan baik sama ada dengan pucuk kepimpinan parti mahu pun akar umbi. Salah pilih pemimpin akan memberi kesan negatif kepada parti,” katanya.
Ulas beliau, calon-calon yang bertanding posisi itu sememangnya berpengaruh dan  mempunyai kekuatan dan kelebihan. Namun, beliau melihat saingan utama adalah di antara Azmin dan Saifuddin. Namun, keupayaan setiap calon tidak boleh dipandang enteng kerana masing-masing mempunyai pengaruh sendiri dalam parti dan peranan jentera calon amat penting bagi mendapatkan sokongan akar umbi.

SH/17 April 2014

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/