Sponsor

Monday, May 5, 2014

Hudud – Dakyah Songsang Yang Menjadi Punca Perundangan Islam Mendapat Tentangan....

Salah tanggapan mengenai hudud sebagai hukuman ‘potong tangan’ antara sebab undang-undang Islam itu mendapat tentangan, terutamanya daripada kalangan orang bukan Islam.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM), Musa Awang berkata, sedangkan hukuman potong tangan terhadap orang yang mencuri hanya akan dijalankan setelah melalui proses pembuktian yang amat teliti.
“Kebanyakan orang menganggap hudud ialah hukuman potong tangan, itu yang selalu digembar-gemburkan. Namun, tidak semua yang mencuri akan dipotong tangan kerana dalam hudud ada prosesnya seperti kita perlu lihat dulu berat mana kesalahan dan jumlah yang dicuri. “Malah, dalam hudud ada konsep memaafkan pencuri dengan syarat dipulangkan balik barang yang dicuri. Sekiranya dijatuhkan hukuman potong tangan, masih ada proses rayuan dan konsep itu yang sebenarnya ramai tidak faham,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bukan mudah mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman terhadap pesalah menggunakan sistem hudud. “Hudud merangkumi enam atau tujuh kesalahan termasuk zina, murtad, minum arak dan merompak. Setiap satu kesalahan itu ada proses yang pembuktian yang sangat ketat sebelum seseorang itu dijatuhkan hukuman. “Misalnya, kesalahan untuk zina hanya diterima dengan pengakuan penzina dan empat orang saksi yang cukup syarat. Jika tiada, kita akan pergi hukuman lain seperti ta’zir dan bukannya rejam untuk penzina yang sudah berkahwin,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, adalah wajar sekiranya isu hudud hanya diperkatakan oleh mereka yang memahaminya dengan jelas agar tidak timbul kekeliruan. “Persepsi salah dalam kalangan orang Islam timbul kerana mereka tidak faham. Keadaan hanya bertambah buruk apabila mereka mahu bercakap sesuatu yang mereka tidak faham. “Mereka yang tidak bersetuju dengan hudud sepatutnya memilih saluran yang betul seperti forum  untuk menyuarakan pandangan. Namun, lebih elok kita menyerahkan kepada pakar yang faham undang-undang untuk bercakap mengenai hudud dan isu teknikal seperti pelaksanaannya,” katanya.
SH/5 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/